KUALA LUMPUR – Persaingan bola sepak di utara tanah air dijangka bertambah rancak musim ini apabila Perlis United FC difahamkan meraih Lesen Kebangsaan, sekali gus dibenarkan beraksi di Liga Super.
Menurut sumber, Perlis United diberikan lesen bersyarat bagi membolehkan kelab itu mengisi satu kekosongan ditinggalkan Kelantan FC yang diturunkan pangkat ke Liga M3.
Malah, difahamkan, nasib Kedah Darul Aman FC (KDA FC) masih lagi selamat di Liga Super musim ini.
“Perlis naik ke Liga Super tapi apa syarat yang ditetapkan tidak tahu lagi. Tapi ini satu berita baik buat peminat Perlis yang sudah lama tidak bermain di liga utama.
“Apapun satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh MFL (Liga Bolasepak Malaysia) mengenai perkara itu,” kata sumber.
Menerusi perkongsian itu, hasrat tiga lagi kelab dari Liga M3 iaitu Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers), Imigresen FC dan Harini FT terkubur dan gagal meraih slot ke Liga Super.
Untuk rekod, kali terakhir skuad Singa Utara bersaing di liga utama Malaysia adalah pada 2018 di kancah Liga Perdana ekoran kemelut tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu. – HMetro