MUAR – Barisan Nasional (BN) optimis parti itu berpotensi besar memperoleh kemenangan dua pertiga dan sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri yang stabil.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sasaran itu dibuat BN melihat kepada serangan bertubi-tubi kepada calon yang dilemparkan pihak lawan.

“Kita yakin kebijaksanaan pengundi di Johor yang merasakan bahawa mereka telah terpengaruh dengan tipu daya dan janji-janji manifesto dan juga fitnah yang telah dilontarkan kepada kepimpinan BN ketika itu.

“Namun suasana di Johor ini berbeza kita lihat bahawa biarpun Datuk Seri Hasni Mohamad adalah calon Menteri Besar kita tentunya beliau adalah merupakan pilihan yang tepat dan tidak ada isu-isu yang menyebabkan soal kredibiliti jauh sekali soal prestasi beliau dalam tempoh yang singkat,” katanya pada sidang media di DUN Maharani pada Ahad.

Jelas Presiden UMNO itu lagi sandaran tersebut diyakinkan lagi dengan sokongan yang ditunjukkan selama sembilan hari berkempen.

“Faktor itu adalah merupakan faktor positif dengan tidak over confident tetapi penuh keyakinan kita merasakan bahawa kita dapat membentuk kerajaan tetapi kita yakin jika dokongan yang berkekalan dan berterusan daripada pengundi maka azam kita untuk mendapat dua pertiga majoriti akan tercapai,” kata Zahid.

Ujar beliau ini bukan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa tetapi tiupan kencang perubahan.

Ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang membidas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang didakwa menekan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mendesak pilihan raya umum disegerakan, Zahid berkata perkata itu adala isu dalaman parti.

Katanya lagi, isu dalaman parti tidak seharusnya menjadi topik perbahasan walaupun di Dewan Rakyat.

“Biarpun seseorang Ahli Parlimen itu mempunyai kekebalan untuk bercakap pelbagai isu di Dewan Rakyat tapi pada pandangan saya isu dalaman parti tidak patut dijadikan sebagai bahan perbahasan ketika memperbahaskan Titah Diraja, pentas yang paling sesuai adalah Majlis Tertinggi (MT) kerana beliau adalah ahlinya,” jawab Ahmad Zahid.

Zahid berkata beliau meraikan perbezaan pendapat dalam parti namun pendirian yang telah diputuskan dalam mesyuarat MT UMNO perlu dihormati semua ahli khususnya ahli MT.

“Kita boleh berbeza pendapat tapi di dalam mesyuarat dan biarpun saya menghormati pandangna peribadi tetapi pendirian parti harus dihormati, parti belum buat pendirian dan tentunya pendirian ini akan diberpbincangkan apabila ada waktu yang sesuai perbahasan itu dikemukakan terutamanya jutucakap-jurucakap negeri yang akan mewakili perhubungan masing-masing ketika Perhimpunan Agung UMNO,” ulas Zahid.

Baru-baru ini Tajuddin membidas tindakan pemimpin UMNO yang menekan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mendesak pilihan raya umum disegerakan.

Menurut Tajuddin di Dewan Rakyat, beliau amat kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana seolah-olah memberi kata dua dalam hal tersebut.