CYBERJAYA — Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa orang ramai supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan di tempat awam sepanjang lawatan rasmi Perdana Menteri India ke Malaysia pada 7 hingga 8 Februari 2026.
Menurut KDN, lawatan rasmi tetamu negara ini mencerminkan hubungan diplomatik yang kukuh dan saling menghormati antara kedua-dua negara. Namun, pihak kementerian menegaskan langkah keselamatan yang ketat perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada sebarang insiden yang boleh mencetuskan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam.
“KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyusun semua persiapan keselamatan secara profesional dan tegas untuk menjamin keselamatan rakyat serta kestabilan negara,” kata siaran media KDN hari ini.
Pihak polis juga dijangka akan berjumpa dengan penganjur mana-mana perhimpunan bagi mendapatkan kerjasama supaya perhimpunan yang dirancang tidak diteruskan. KDN menekankan bahawa larangan ini adalah bagi memastikan keselamatan awam dan kelancaran lawatan rasmi.
Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negara, KDN menegaskan semua tindakan diambil dengan profesionalisme tinggi dan mematuhi prosedur keselamatan standard bagi tetamu negara.
Orang ramai diminta memberi kerjasama dan mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh lawatan rasmi tersebut bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap ketenteraman awam.



