KUALA LUMPUR, — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.58 Lamag, Mohd Ismail Hj Ayob, semalam secara rasmi menyertai UMNO selepas menerima kad keahlian yang disampaikan sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Mohd Ismail yang lebih dikenali sebagai Miha sebelum ini merupakan calon langsung Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag yang berlangsung bulan lalu.
Dalam PRK tersebut, Miha mencatat kemenangan besar apabila memperoleh 7,269 undi, menewaskan calon Warisan yang meraih 1,588 undi, sekali gus menang dengan majoriti 5,681 undi dan mengekalkan kerusi DUN Lamag untuk Barisan Nasional.
Dalam kenyataannya, Miha menzahirkan rasa syukur atas penyertaan rasmi ke dalam UMNO dan menyifatkan langkah itu sebagai permulaan kepada satu perjalanan perjuangan yang lebih besar demi agama, bangsa dan negara, khususnya untuk Sabah dan rakyat Lamag.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk menyumbang tenaga, idea serta iltizam bagi memperkukuhkan perjuangan UMNO dan mempertingkatkan khidmat kepada rakyat di kawasan yang diwakilinya.



