KUALA LUMPUR — Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud memberi sumbangan 25 tan kurma kepada Malaysia bersempena kedatangan bulan Ramadan 1446H.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sumbangan itu adalah simbol kemurahan hati Raja Salman disamping menzahirkan ukhuwah terhadap umat Islam di seluruh dunia, khususnya di Malaysia.
Beliau turut menyampaikan penghargaan atas sokongan dan kerjasama erat yang sentiasa terjalin antara Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia.
“Pertama-tamanya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Khaadimul Haramain Al-Syareefain, Raja Salman Bin Abdul Aziz Al-Saud atas kemurahan hati Baginda yang telah menyumbangkan sebanyak 25 tan kurma untuk rakyat Malaysia.
“Hubungan yang kukuh ini adalah manifestasi daripada persaudaraan Islam yang telah lama terjalin, dan Insya-Allah akan terus diperkukuhkan dari masa ke masa menzahirkan hubungan erat antara Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia seterusnya menzahirkan hubungan erat antara Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia.
“Sumbangan ini amat besar maknanya, bukan sahaja sebagai simbol ukhuwah Islamiyyah, malah sebagai lambang kasih sayang dan keprihatinan Baginda terhadap umat Islam di seluruh dunia, khususnya di Malaysia,” katanya dalam sidang media hari ini.
Sumbangan kurma tersebut disampaikan oleh Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Atase Agama Kedutaan Besar Diraja Arab Saudi, Kuala Lumpur.