PUTRAJAYA – Surat daripada Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari 2025 membuktikan bahawa afidavit yang dikemukakan oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan juga Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berasas dan tidak bersifat khabar angin atau ‘hearsay’ (khabar angin).
Justeru Menteri Besar Pahang itu menegaskan bahawa Umno sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang dan menghormati proses kehakiman negara serta institusi diraja.
“Alhamdulillah, Umno Negeri Pahang melahirkan rasa penuh kesyukuran setelah Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman mengenai kesahihan kewujudan titah adendum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 untuk beliau menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi tahanan dalam rumah.
“Di kesempatan ini, patik menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah yang telah memperakukan kewujudan dan kesahihan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 sewaktu baginda masih lagi menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16,” kata Naib Presiden Umno itu dalam kenyataan pada Isnin.
Ujar Wan Rosdy lagi, keputusan ini telah memberi harapan kepada Najib dan keluarga beliau serta kita semua untuk terus memberi kepercayaan kepada perjuangan beliau bagi mendapatkan keadilan yang sewajarnya.
“Saya ingin menyeru kepada semua ahli Umno untuk terus bersatu hati dan jangan biarkan sebarang isu memecah belahkan perpaduan kita,” kata beliau.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk mencabar perintah penahanan di rumah bagi baki hukuman penjara yang dihadapinya.