28,664 Mangsa Banjir Di Enam Negeri Berlindung Di Pusat Pemindahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seramai 28,664 mangsa banjir membabitkan 7,265 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara, setakat jam 4 petang tadi.

Daripada jumlah itu, Pahang mencatat bilangan tertinggi dengan 20,956 mangsa banjir (5,269 keluarga) di sembilan daerah.

Ini diikuti Johor dengan 3,183 mangsa banjir, Kelantan (3,037), Terengganu (1,037), Perak (438) dan Selangor (13).

Menurut laporan secara keseluruhan dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 343 PPS masih aktif di 27 daerah seluruh negara, setakat jam 4 petang tadi.

PPS terbabit meliputi 247 di Pahang, Johor (26), Kelantan (51), Terengganu (13), Perak (lima) dan Selangor (satu).

Selain itu, jumlah kematian direkodkan akibat banjir ialah tiga membabitkan dua mangsa di Kluang, Johor, dan seorang lagi di Jerantut, Pahang.

Sementara itu, rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan beberapa sungai di Kedah, Pahang, Sabah serta Terengganu telah mencecah paras bahaya.

Antaranya, Sungai Ketil di Kuala Pegang, Baling, Kedah, Kuantan Bypass, Sungai Jelai di Jeram Bungor Lipis; dan Sungai Pahang di bahagian Jerantut serta Temerloh.

Dalam pada itu, rekod Jabatan Kerja Raya (JKR) menunjukkan 196 laluan di Pahang, Johor, Perak, Terengganu, Kelantan dan Selangor ditutup, terutama akibat banjir, selain cerun runtuh serta jalan mendap.

Sebelum ini, hujan berterusan sejak beberapa hari lalu di enam negeri menyebabkan banyak kawasan dinaiki air, dengan kediaman turut ditenggelami banjir sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.

Beberapa laluan utama, termasuk di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) juga terpaksa ditutup akibat banjir, selain berlaku tanah runtuh di beberapa kawasan sehingga menyebabkan lalu lintas mengalami kesesakan teruk. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat