KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui wujud masalah dalaman parti, namun menegaskan kepemimpinan Bersatu kini bersepakat untuk kembali memperkukuh kekuatan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Beliau berkata, perkara itu dibincangkan secara terbuka dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang berlangsung di ibu pejabat parti malam tadi.
Muhyiddin berkata, mesyuarat berjalan dengan aman, damai dan penuh muafakat.
“Memang kita menghadapi sedikit masalah dalam Bersatu, tetapi malam ini semua bersepakat untuk mencari jalan seberapa segera bagi kembali bertaut sebagai satu jemaah yang cukup padu dan kuat.
“Kita bersetuju supaya dapat mengelakkan sebarang tindakan daripada pihak-pihak tertentu. Walaupun bilangannya tidak ramai, tetapi riuhnya seolah-olah satu kampung mendengarnya.
“Kami sedar akan perkara itu dan telah sepakat bahawa ia perlu dihentikan segera, tidak ada apa-apa lagi yang harus dibangkitkan,” katanya.
Muhyiddin memaklumkan bahawa parti telah memuktamadkan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada PRN Sabah.
Menurutnya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MPT malam ini selepas mengambil kira rundingan dengan komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, Muhyiddin tidak mendedahkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi Bersatu.
“Persiapan di Sabah sudah kita mulakan. Hari ini kita telah memutuskan kerusi yang akan ditandingi oleh Bersatu. Namun, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) juga mempunyai bahagian masing-masing,” memetik laporan Utusan.
Beliau turut memaklumkan akan berkunjung ke Sabah pada 7 November ini bagi melancarkan jentera pilihan raya PN, sebelum kembali semula ke Sabah pada 11 November untuk mengumumkan senarai penuh calon yang akan bertanding.



