Western Digital Tambah Pelaburan Di Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Persekitaran ekonomi yang kondusif ditambah dengan sokongan padu berterusan oleh kerajaan mendorong syarikat pengeluar pemacu cakera keras dan storan data daripada Amerika Syarikat, Western Digital meningkatkan pelaburannya di Malaysia.

Pengerusi Western Digital Malaysia, Datuk Syed Hussian Aljunid, berkata pihaknya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan di atas sokongan berterusan kepada industri pembuatan Malaysia terutama sewaktu pandemik COVID-19.

Katanya, usaha tanpa henti bagi menyeimbangkan kesihatan awam dan keperluan syarikat pengeluar adalah bukti komitmen tidak berbelah bagi Perdana Menteri kepada kesejahteraan rakyat Malaysia dan ekonominya.

“Keputusan Western Digital untuk menambah pelaburan baharu ke Malaysia didorong oleh keadaan operasi yang memuaskan dan sokongan yang diterimanya daripada Perdana Menteri, kementerian dan agensi berkaitan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmood yang memainkan peranan penting dalam menambat keyakinan Western Digital untuk terus melabur di Malaysia.

“Begitu juga kami ingin merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di atas sokongan mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden dan Pengurus Besar Media dan Operasi Substrate Malaysia, Oung Kheng Huat dan Naib Presiden Operasi Sokongan Flash Global Western Digital di Malaysia, Bock Kim Lee.

Terdahulu Syed Hussian mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di Putrajaya, awal pagi ini bagi memaklumkan keputusan syarikat itu untuk menambah pelaburan RM2.3 bilion bagi meningkatkan kemudahan dan kapasiti pengeluaran syarikat itu di Malaysia.

Pelaburan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan syarikat berkenaan sebanyak RM18 bilion sejak ia mula bertapak di Malaysia pada 1973.

Mengulas lanjut Syed Hussian berkata, pelaburan itu bertujuan mengembangkan kemudahan kilang sedia adanya di Pulau Pinang dan Kuching, Sarawak dengan masing-masing membabitkan pelaburan RM1.3 bilion dan RM1 bilion.

“Pelaburan ini akan menawarkan 2,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan sebaik pelan pengembangan di kedua-dua kilang ini siap dibangunkan dua tahun lagi.

“Kos penggajian Western Digital di Malaysia juga dijangka meningkat kira-kira RM80 juta setahun dengan pertambahan pekerjaan ini,”

Sementara itu Kheng Huat, berkata kilangnya di Pulau Pinang dan Kuching telah mencapai kapasiti penuh yang menyebabkan pihaknya memutuskan untuk mengembangkannya.

“Menerusi pengembangan ini, kilang-kilang ini berupaya meningkatkan kapasiti sedia ada sebanyak 30 peratus selepas ia siap sepenuhnya nanti,” katanya.

Syarikat itu ketika ini menggajikan lebih 9,000 pekerja di Malaysia dan pada tahun lalu mencatat jumlah keseluruhan eksport sebanyak RM18 bilion. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat