PM Arah Kaji Perundangan, Tangguh PRK Batu Sapi Sehingga COVID-19 Berakhir

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah mengarahkan supaya beberapa aspek perundangan dikaji bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi di Sabah ditangguhkan terlebih dahulu, sehingga pandemik COVID-19 berakhir.

Perdana Menteri berkata beliau telah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara berbuat demikian ketika Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara(MKN), di mana antara lain prosedur operasi standard (SOP) PRK Batu Sapi dibentang hari ini.

“PRK ini dilihat agak sukar untuk dilaksanakan, ketika pandemik COVID-19 masih memuncak di negeri Sabah pada masa ini,” katanya di dalam catatannya di Facebook.

Muhyiddin berkata sidang MKN turut diberikan penerangan mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19 dalam negara, di mana beliau menyifatkan ia masih lagi pada tahap membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Sehubungan itu, katanya beliau telah mengarahkan supaya MKN segera menilai semula sama ada aktiviti sosial masih boleh dibenarkan pada ketika ini, selain keperluan untuk memperketatkan lagi SOP pergerakan rentas daerah dan negeri.

“Saya dimaklumkan insya-Allah MKN akan membentangkan dapatan hasil perbincangan daripada Jawatankuasa Teknikal COVID-19 berhubung penilaian semula SOP pada sidang MKN esok (5 Nov),” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata beliau turut bersetuju dengan saranan kerajaan negeri Sarawak supaya fasiliti yang menjalankan ujian saringan pengesanan COVID-19 di negeri itu, dinaik taraf.

“Saya setuju dengan saranan ini kerana fasiliti sedia ada dijangka tidak mampu menampung sampel yang banyak dan kita mesti bersiap sedia dari segi tenaga kerja dan fasiliti untuk menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak kes positif COVID-19.

“Alhamdulillah, kerajaan Sarawak telah pun mengadakan perbincangan lebih awal di pihak mereka dan akan membentangkan Pelan Persiapan COVID-19 bagi Negeri Sarawak pada Sidang Khas MKN esok,” katanya.

Perdana menteri turut memberi komitmen bahawa semua cadangan bagi menambah baik gerak kerja dan persiapan mengurus serta mengawal jangkitan COVID-19 dalam negara, akan diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan.

“Semua ini pada akhirnya adalah untuk melindungi rakyat Malaysia daripada jangkitan COVID-19 dan memastikan keupayaan mereka meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

– BERNAMA

Topik Hangat

Kontroversi SMK Puncak Alam, KPM Serah Kepada Polis

CYBERJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung beberapa insiden membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA). SMKPA menjadi tumpuan...

Israel Arah Serang Pegawai Hamas Di Iran, Turki, Qatar dan Malaysia?

TEL AVIV - Kepimpinan Israel didakwa mengarahkan ejen perisikan negaranya iaitu Shin Bet dan Mossad untuk membunuh pegawai tertinggi Hamas di dalam dan luar...

Tel Aviv Dihujani 80 Roket Ketika Gaza Kebumikan 26 Mangsa Kekejaman Israel (VIDEO)

CYBERJAYA - Kota Tel Aviv di Israel dihujani sekitar 80 tembakan roket yang dilancarkan dari Tebing Gaza bagi membalas kekejaman Israel ke atasa...

Berita Berkaitan

Jangkitan Covid-19 Naik Mendadak, Noor Hisham Rayu Masyarakat Kawal Pergerakan

KUALA LUMPUR - Peningkatan kes baharu COVID-19 secara mendadak sejak awal April lepas, telah memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara, kata Ketua...

Kelulusan Rentas Negeri Akan Lebih Ketat, Cegah Salah Guna – KPN

PETALING JAYA - Kelulusan permohonan rentas negeri akan diteliti dengan lebih ketat lagi bagi memastikan tiada individu menyalahguna atau memalsukan kebenaran itu. Ketua Polis Negara,...

Rekod Tertinggi 47 Kematian, 4,865 Kes Baru Covid-19 Hari Ini

PUTRAJAYA - Malaysia merekodkan kes kematian tertinggi akibat jangkitan COVID-19 selama dua hari berturut-turut, iaitu sebanyak 47 kes dilaporkan hari ini, berbanding 45 kes...