Kenapa Warisan Gemar Ambil Kredit Hasil Usaha Orang Lain, Soal PCS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis menjadi perintis kepada industri hiliran minyak dan gas di Sabah dan parti Warisan Sabah (Warisan) tidak sepatutnya mengambil kredit daripada projek tersebut

Timbalan Ketua Pemuda Parti Cinta Sabah (PCS) Kimanis, Joselay Onong berkata, umum mengetahui bahawa Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman adalah individu yang bertanggungjawab membawa SOGT ke kawasan itu.

Menurutnya, SOGT menjadi perintis kepada kepada projek Sabah Ammonia Urea (Samur) di Sipitang yang merupakan antara pengeluar amonia di Malaysia.

“Terbaru, Warisan cuba salahkan Anifah kononnya berdiam diri apabila Petronas mengambil keputusan tidak membina loji penapis gas asli di Kimanis hingga Sabah terlepas berbilion ringgit.

“Hakikatnya, tanpa SOGT dibawa Anifah, tidak akan ada peluang Petronas membina Samur di Sipitang dan beberapa industri hiliran lainnya sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Wira Warisan Bahagian Kimanis, Abdul Kadir Jailani yang menyifatkan SOGT sebagai ‘Pintu neraka minyak dan gas di Sabah’.

Bekas Pegawai Pembangunan Masyarakat (UPPM) Membakut itu menyalahkan Anifah susulan keputusan Petronas sebelum ini yang tidak membina loji penapis gas asli di Sabah sedangkan SOGT wujud di Kimanis.

Joselay berkata, Sabah masih baru dalam industri ini berbanding Sarawak yang sudah memulakan industri sama melalui MLNG Bintulu sejak lebih 30 tahun lalu dan diiktiraf sebagai pengeluar gas asli terbesar di dunia.

Katanya, atas dasar itu, Anifah yang merupakan bekas Ahli parlimen Kimanis berjuang dan berunding dengan Petronas untuk membina SOGT sebagai langkah awal agar Sabah mampu maju dalam industri tersebut walaupun agak ketinggalan berbanding Sarawak.

Tambah beliau, pada awalnya Petronas bercadang membuat saluran dasar laut terus ke Malaysia LNG Sdn. Bhd. (MLNG) di Bintulu tanpa melalui Sabah untuk membekalkan gas mentah bagi menjimatkan kos.

Namun katanya, cadangan ini dibantah Anifah yang sedar Sabah memerlukan langkah awal supaya mampu membangunkan sumber gas dan minyak seperti Sarawak.

“Berkat usaha beliau, terbinanya SOGT di Kimanis walaupun Petronas terpaksa berbelanja besar dan melupakan perancangan awal iaitu membina saluran paip dasar laut tanpa melalui Sabah.

“Abdul Kadir yang jelas cuba mencari publisiti murahan melalui kenyataan tidak realistik seharusnya belajar dan faham keadaan serta isu semasa sebelum membuat komen,” katanya.

Dalam pada itu, Joselay turut membangkitkan persoalan mengapa Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Naib Presiden UMNO dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika itu tidak memperjuangkan isu minyak dan gas di Sabah.

“Semua tahu Shafie rapat dengan Perdana Menteri (Najib Razak) dan sudah tentu dapat melakukan sesuatu agar Petronas setuju buka loji penapis gas di Kimanis namun Shafie cuma membisu.

“Kenapa sekarang baru mahu ‘bising’? kenapa tidak sebelumnya dan apa yang sudah dilakukan kerajaan Warisan untuk membangunkan industri sama di Sabah yang tanpa usaha Anifah industri ini tidak akan wujud di negeri ini,” katanya.

Joselay turut mempersoalkan kenapa Shafie tidak berunding dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu adalah Penasihat Petronas agar dapat dibina loji penapis gas asli di Kimanis. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat