CYBERJAYA, – Tiga individu dipercayai pempengaruh media sosial telah dipanggil untuk dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan penyebaran sebuah video kontroversi yang memaparkan mereka memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kandungan video tersebut disifatkan sebagai jelik melampau, sekali gus mencetuskan kemarahan dan kecaman meluas dalam kalangan warganet. Video berkenaan turut menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap etika penciptaan kandungan dalam talian.
Menurut suruhanjaya itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor pada hari ini,” jelas MCMC.
Sebagai sebahagian daripada siasatan, pihak berkuasa turut menyita tiga unit telefon bimbit dan tiga keping kad SIM yang dipercayai digunakan dalam penghasilan dan penyebaran kandungan berkenaan.
MCMC turut menegaskan komitmennya dalam memperkukuh inisiatif literasi digital menerusi Kempen Internet Selamat (KIS), bagi mendidik masyarakat agar lebih beretika dan bertanggungjawab dalam dunia digital.
“Inisiatif ini bertujuan menyemai budaya penciptaan kandungan yang berhemah, beretika dan beradab, serta meningkatkan kesedaran terhadap nilai-nilai murni dalam ekosistem digital negara,” tambah kenyataan itu.
MCMC menyeru semua pencipta kandungan agar lebih peka dan sensitif terhadap implikasi sosial serta budaya apabila menghasilkan kandungan untuk tatapan umum.



