KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil membidas kerajaan kerana mengadakan Himpunan Pembebasan Palestin tetapi pada yang sama meneruskan penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).
Sindir Isham, seolah benci mereka tetapi pada masa yang sama mahu dan tidak malu menerima duit daripada mereka.
” Dan tidak masuk akal jika kita buat himpunan menentang Israel tetapi pada masa yang sama menyokong atau membawa masuk pihak yang menyokong Israel e.g. BlackRock dan beri atau jual kepada mereka atau kepentingan mereka saham yang besar dalam aset strategik negara melalui rundingan. Ini seolah kamu kononnya membenci dia tetapi pada masa yang sama mahu dan tidak malu terima duit dari dia.
”Hipokrasi seperti ini yang membawa kepada kekeliruan dan biasanya dimanifestasi dengan ucapan dan ketersasulan yang berulang. Bila akal sudah keliru, apa yang keluar di mulut pun jadi haru biru.
”Malaysia tidak pernah iktiraf Israel atau perjuangan rakyat Israel. Yang kita iktiraf dan sokong adalah Palestin dan perjuangan rakyat Palestin,” kata Isham menerusi kenyataan Facebooknya, sebentar tadi.
Isham juga menyelar seorang pemimpin tertinggi kerajaan berucap menyebut “Hidup Israel” dan “dokongan kepada perjuangan rakyat Israel”, serta “bangunkan Israel” pada himpunan malam tadi.
”Semalam saya dimaklumkan ada seorang pemimpin kerajaan berucap menyebut “Hidup Israel” dan “dokongan kepada perjuangan rakyat Israel”, serta “bangunkan Israel” etc. (Netizen mohon dengar semula video ucapan itu dan maklumkan saya jika apa yang dimaklumkan itu benar atau tidak). Ramai orang terkejut. Penyokong kerajaan pun keliru dan kata mungkin pemberi ucapan itu tersasul.
”Jika kita tersasul, biasanya kita tersasul sekali sahaja. Jika menyebut dua tiga kali, itu bukan tersasul, itu besar kemungkinan gambaran sebenar yang keluar dari hati dan akal fikiran atau dari keliruan.” ujarnya.
Himpunan Pembebasan Palestin yang dianjur oleh kerajaan di Axiata Arena, Bukit Jalil antara lain bertujuan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi antara yang menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin, bersama-sama beberapa pemimpin lain.
Antara program yang diatur ialah Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah,-SUARATV