Jerangkung ‘lawan’ Gadis Jolobu

- Advertisement -

JERANGKUNG Dalam Almari vs Gadis Jolobu The Movie!

Semalam menjadi hari bersejarah buat dua filem tempatan yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara serentak.

Filem genre seram, Jerangkung Dalam Almari dan genre komedi, Gadis Jolobu The Movie kini bersaing di pawagam dengan jalan cerita tersendiri.

Tentunya selepas kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, penonton lebih terbuka untuk menerima kehadiran filem Melayu di pawagam.

Pada masa sama, keterujaan itu juga tentunya akan hadir bersama jangkaan yang tinggi.

Baru-baru ini, saya sendiri berpeluang menonton dan menilai kedua-dua filem ini. Jerangkung Dalam Almari adalah karya arahan Shadan Hashim, manakala Gadis Jolobu The Movie pula arahan CL Hor.

Jerangkung Dalam Almari menyajikan jalan cerita berkisar mengenai satu keluarga yang terpaksa berhadapan dengan gangguan.

Menampilkan pelakon lama serta baharu antaranya Datuk Adi Putra, Hasnul Rahmat, Anne Abdullah dan Sophia Albarakbah, penonton dibawa untuk melalui situasi yang terpaksa dihadapi keluarga Fikri (Adi).

Sejujurnya, Jerangkung Dalam Almari bukan filem seram yang klise memandangkan ada beberapa plot dalam filem ini yang tidak dijangka.

 

DUA filem tempatan bersaing masuk panggung serentak dengan jalan cerita tersendiri.
DUA filem tempatan bersaing masuk panggung serentak dengan jalan cerita tersendiri.

 

Namun, tentu sekali penonton tidak akan duduk diam dengan babak kejutan seperti yang pernah kita tonton dalam filem seram lain.

Dari sudut lakonan, Adi tidak perlu dipertikaikan kerana dia adalah pelakon ‘versatile’ yang mampu menjiwai apa saja watak.

Lakonan Sophia yang pada ketika itu (penggambaran filem ini dibuat pada 2019) masih di peringkat awal karier memberikan lakonan yang tidak mengecewakan.

Saya ingin memuji lakonan Anne Abdullah yang mungkin jarang sekali kita dapat lihat penampilannya dalam filem.

Babak dia dirasuk benar-benar meyakinkan di samping solekan serta pencahayaan dan bunyi yang benar-benar membawa ‘mood’ seram.

Bagaimanapun, tentunya ada beberapa perkara kecil yang saya sebagai penonton melihat ia seperti ‘kurang’ meyakinkan. Namun, itu tidak mencacatkan keseluruhan filem.

Sementara itu, filem Gadis Jolobu The Movie juga tidak kurang hebatnya apabila menampilkan barisan pelakon komedi seperti Joey Daud dan Khir Rahman yang kemudian digandingkan dengan penyanyi legenda, Datuk Hattan.

Gabungan itu begitu serasi dan penonton juga dapat merasakan keakraban ketiga-tiga watak utama ini.

Dari sudut lawak jenaka, secara keseluruhan saya hanya dapat merasakan 50 peratus komedi mereka. Itu pun daripada pelakon utama.

 

FILEM Gadis Jolobu The Movie menggabungkan pelakon lama dan baharu.
FILEM Gadis Jolobu The Movie menggabungkan pelakon lama dan baharu.

 

 

GADIS Jolobu The Movie arahan CL Hor.
GADIS Jolobu The Movie arahan CL Hor.

 

Namun, bintang baharu yang menjadi ‘Gadis Jolobu’, Ahirine Ahirudin masih ‘kaku’.

Mungkin dia masih baharu dan belum sempat ‘panas’ lagi. Jadi, banyak lagi kelemahan yang perlu digilap.

Dari sudut jalan cerita, buat peminat filem komedi, saya berasakan bahawa ia sangat longgar dan tidak jelas arah tujunya.

Siapa dan apa yang ingin diberikan kepada penonton? Judulnya Gadis Jolobu, namun gadis yang dipaparkan seperti kurang menyerlah.

Penceritaannya juga ‘terlompat-lompat’ dari satu babak ke satu babak yang lain, sekali gus menampakkan ia umpama satu filem komedi yang tergesa-gesa dan cacamarba.

Namun, pujian juga patut diberikan kerana walaupun pengarahnya berbangsa Cina, dia mengangkat dan mengetengahkan adat serta budaya masyarakat Negeri Sembilan.

Yang pasti, tentunya kedua-dua filem ini memiliki kumpulan peminatnya yang tersendiri. Sama ada mereka yang menonton berpuas hati dan berasakan harga tiket yang dibayar itu berbaloi atau tidak, sama-sama kita nantikan.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,592FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat