Tokyo 2020: Azizulhasni Jangka Laluan Sukar Ketika Berhadapan Hoogland

- Advertisement -

TOKYO: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjangkakan yang beliau akan berhadapan laluan sukar pada perlumbaan dengan pelumba Belanda Jeffrey Hoogland pada saringan pertama Pusingan Ketiga 1/8 acara pecut lelaki di Olimpik Tokyo, hari ini.

Bagaimanapun Azizulhasni percaya, apa juga boleh terjadi pada perlumbaan yang akan berlangsung di Veledrome Izu, itu.

“Jangan mudah mengalah, terus cuba sebaiknya dan percaya pada diri sendiri,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam channel Youtube Azizul Awang bertajuk ‘Pecutan Hari Pertama | Perjalanan Azizul Awang Mengejar Kilauan Emas’.

Terdahulu Hoogland memecahkan rekod Olimpik bagi acara pecut lelaki apabila mencatatkan 9.215 saat pada pusingan kelayakan.

Azizulhasni mengesahkan tiket ke pusingan ketiga atau 1/8 itu apabila mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menumpaskan pelumba Kanada, Nick Wammes pada perlumbaan repechage 1/16.

Sementara itu Azizulhasni berkata, beliau sedih kerana tidak dapat memperbaiki masa peribadi terbaiknya pada perlumbaan semalam.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 itu memegang rekod kebangsaan 9.548 saat (s) yang dicatatkan di Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman tahun lepas.

Catatan terbaik beliau hari ini ialah 9.626s, yang dicatatkan pada pusingan kelayakan.

Sementara itu Azizulhasni berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan kejayaan beliau dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di Olimpik Tokyo.

“Teruskan sokong kami, ikuti perkembangan terkini dan terus mendoakan kami. Insya-Allah kami akan lakukan yang terbaik esok,” kata Azizulhasni.

Muhammad Shah Firdaus pula, berpeluang untuk membalas dendam atas kekalahannya kepada Harrie Lavreysen juga dari Belanda pada Pusingan Pertama 1/32 semalam, apabila kedua-dua mereka akan bertemu semula pada saringan kedua, Pusingan Ketiga, hari ini.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,555FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat