Projek Tanam Durian Di Gunung Inas Bukan Punca Utama Banjir Di Baling – Sanusi

- Advertisement -

BALING – Projek tanaman durian Musang King di puncak Gunung Inas tidak boleh dianggap sebagai punca utama berlaku kejadian banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang, di sini, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kejadian yang berlaku itu mempunyai persamaan dengan kejadian kepala air yang berlaku di Yan pada tahun lalu.

Katanya, imej dirakam dari helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mendapati tandak (kolam kecil) yang dibina penduduk untuk menakung air masyarakat di gunung itu masih ada, namun dipenuhi pasir.

“Tandak air digunakan pengusaha tanaman durian juga tidak pecah. Itu bermaksud aliran air yang membentuk kepala air adalah air yang terkumpul di alur sepanjang Gunung Inas sebelum mengalir serentak ke bawah.

“Air itu disekat kayu sebelum mengalir serentak ke bawah dan itu yang membentuk kepala air. Fenomena ini menyamai kejadian yang berlaku di Gunung Jerai pada tahun lalu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, dakwaan mengatakan ladang durian sebagai punca utama bencana memerlukan penelitian terperinci dan bukti kukuh.

“Pada 2020 saya arahkan pengusaha ladang durian segera tanam tanaman tutup bumi di kawasan yang digondolkan dan saya dapati ada tanaman tutup bumi di situ.

“Mungkin tutup bumi itu tak mampu serap aliran air yang banyak, maka berlakulah apa yang berlaku. Kita akan tengok perkara itu kemudian,” katanya.

Sebelum ini, penduduk Kampung Ibol mendakwa kejadian itu mempunyai kaitan dengan projek tanaman durian seluas kira-kira 1,200 hektar yang diusahakan di puncak Gunung Inas sejak 2018.

Beliau berkata, penilaian dibuat mendapati kejadian itu belum sampai ke tahap yang membolehkan ia diisytihar sebagai kawasan Darurat Bencana.

“Kita akan sewa rumah untuk didiami mangsa secara sementara dan usaha mendapatkan rumah gantian akan dibuat jika mereka ada tapak lebih selamat.

“Kita khuatir sungai yang dalam, kini jadi cetek akibat kejadian kepala air dan bimbang berlaku lagi limpahan pada masa akan datang,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,594FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat