Pulau Pinang Beralih Ke Fasa Dua PPN Rabu Ini – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk Pulau Pinang beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Rabu ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah meneliti pembentangan peralihan fasa bagi negeri-negeri di bawah PPN dengan mengambil kira nilai ambang negeri berkenaan.

Menurutnya keputusan peralihan fasa bagi Pulau Pinang berikutan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama iaitu purata kes jangkitan harian selama tujuh hari di bawah nilai ambang 12.2 kes per 100,000 iaitu 9.5 kes per 100,000.

Selain itu, kadar penggunaan katil wad unit rawatan rapi (ICU) mencapai tahap sederhana dan penilaian kapasiti untuk memberikan maklum balas yang berada pada tahap memadai serta kadar vaksinasi lengkap dua dos ke atas populasi dewasa melebihi 10 peratus iaitu pada kadar 10.1 peratus.

“Berdasarkan tiga indikator ini dan penilaian terperinci agensi termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN bagi negeri Pulau Pinang berkuat kuasa 7 Julai 2021,” menurutnya dalam kenyataan mengenai PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Ismail Sabri turut menasihati negeri yang berjaya beralih ke Fasa Dua PPN supaya meneruskan usaha melindungi komuniti daripada jangkitan COVID-19 dan meningkatkan prestasi untuk beralih ke fasa seterusnya bagi membantu mempercepat proses pemulihan sektor ekonomi dan sosialnya.

Pada 3 Julai lepas, beliau mengumumkan Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN bermula hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata MKN telah memutuskan bahawa semua jenis barang dagangan di kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya serta pasar mini boleh dijual kepada pelanggan sepanjang tempoh PPN.

“Ini berikutan terdapat kekeliruan dalam kalangan pemilik premis yang menutup sebahagian seksyen barangan di premis perniagaan mereka dan tidak dijual kepada pelanggan,” katanya.

Beliau juga berkata premis makanan bagi Fasa Satu dan Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam.

Bagaimanapun, katanya premis makanan di semua kawasan PKPD termasuk mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur hanya beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat