Mahkamah Tinggi benarkan afidavit Wan Rosdy sokong permohonan Najib

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan dua afidavit termasuk yang diikrarkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak.

Ia bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika sidang media selepas prosiding kes itu yang dijalankan secara tertutup, mengesahkan perkara berkenaan, lapor BH pada Rabu.

Najib, 71, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada 1 April lalu menerusi Tetuan Shafee & Co.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Bekas Perdana Menteri berkenaan memohon perintah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda serta titah adendum, selain memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat