Karnival Malaysia Di New Delhi Raikan 65 Tahun Hubungan Diplomatik Dengan India

- Advertisement -

NEW DELHI – Malaysia menganjurkan festival makanan dan budaya di New Delhi pada petang Sabtu untuk meraikan 65 tahun hubungan diplomatik dengan India.

Merasmikan acara itu di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Menteri Hal Ehwal Luar India Rajkumar Ranjan Singh berkongsi ikatan sejarah yang erat dan hubungan ekonomi yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.

Singh berkata India mengiktiraf Malaysia sebagai rakan kongsi penting di Asia Tenggara dan menekankan hubungan dua hala kedua-dua negara dalam pelbagai bentuk.

Para tetamu termasuk ramai ahli komuniti diplomatik New Delhi, ketua misi ASEAN dan pegawai kementerian luar India.

Karnival Malaysia itu turut dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung untuk menyaksikan persembahan kebudayaan dan menikmati pelbagai jenis masakan Malaysia serta buah-buahan tropika.

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia membawakan rombongan kebudayaan untuk membuat persembahan pada acara itu, yang juga menjadi daya tarikan pameran selain produk Malaysia.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menghantar 800 kg buah-buahan tropika, manakala Kraftangan Malaysia menyediakan pelbagai produk batik untuk dipamerkan.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Hidayat Abdul Hamid memberitahu para tetamu bahawa Malaysia kini dibuka untuk pelancong dan pengembara antarabangsa.

“Karnival Malaysia adalah untuk mengingatkan rakan-rakan kita di India apa yang anda semua tidak dapat nikmati dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.

Syarikat Malaysia yang beroperasi di India mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka pada acara itu manakala Perwakilan, kumpulan wanita Malaysia termasuk pasangan pegawai misi diplomatik, membantu dalam menyediakan dan mempersembahkan hidangan asli Malaysia. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat