KUALA LUMPUR, – ARMADA BERSATU Malaysia hari ini membidas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh, susulan kenyataannya yang menyindir pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan identiti Melayu dan Malaysia.
Dalam kenyataan media oleh Ketua Penerangan ARMADA, Harris Idaham Rashid, beliau menegaskan bahawa tindakan Perikatan Nasional menolak pelawaan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan pada tahun 2022 adalah demi mempertahankan maruah serta kepentingan orang Melayu.
“Apabila Dr. Akmal menyebut ‘kerana kuasa manusia berubah’, kenyataan itu lebih mencerminkan sikap UMNO yang sanggup menggadaikan prinsip ‘No Anwar, No DAP’ demi membentuk kerajaan bersama PH dan DAP gabungan yang kini sinonim dengan gelaran ‘UMDAP’,” tegas Harris.
ARMADA turut menjelaskan bahawa kenyataan Tan Sri Muhyiddin baru-baru ini wajar dilihat dalam konteks penuh, sebagai pandangan seorang negarawan yang mengutamakan kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
“Ketika beliau menjadi Perdana Menteri, bantuan vaksinasi, insentif perniagaan dan sokongan kos sara hidup diberikan kepada semua golongan tanpa mengira kaum atau agama. Ini membuktikan bahawa Tan Sri Muhyiddin bukan hanya pemimpin Melayu, tetapi pemimpin rakyat,” katanya lagi.
ARMADA turut mempertahankan kredibiliti Tan Sri Muhyiddin sebagai pemimpin Melayu-Islam yang konsisten memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air, selaras dengan sokongan besar masyarakat Melayu terhadap Perikatan Nasional.
“Kami ingin mengingatkan Dr. Akmal ‘Actions speak louder than words’. Jangan hanya petik kenyataan lama untuk menutup kegagalan UMNO mempertahankan prinsip yang mereka sendiri pernah laungkan,” tegas Harris.