Haqiem bulan madu ketika Syawal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keterujaan penyanyi lagu Mimpi, Haqiem Rusli berganda. Bukan sahaja kali pertama menyambut 1 Syawal sebagai suami, malah menghitung hari terbang ke Turki untuk berbulan madu.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 itu berkata, dia dan cinta hatinya, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri baru berkesempatan untuk berbulan madu pada raya ketiga.

“Tahun ini, saya dan isteri meraikan 1 Syawal di kediaman keluarga saya di Hulu Langat, Selangor. Isteri mahu merasakan suasana menyambut Syawal bersama keluarga saya terlebih dahulu.

“Kami juga mengambil kata putus untuk terbang ke Turki selama dua minggu.

“Sepatutnya kami ke Turki Mac lalu, tetapi Sofea dijangkiti COVID-19. Jadi, perancangan terpaksa ditunda. Selepas berkahwin, kami hanya sempat ke Port Dickson,” katanya kepada BH Online.

Justeru, Haqiem dan isteri mahu memanfaatkan sambutan Aidilfitri bersama keluarga sebaik mungkin, sebelum terbang ke Turki dalam tempoh yang lama.

“Saya akui, perasaan berbeza dan cukup membahagiakan apabila dapat merasai nikmat beraya sebagai suami isteri. Secara kebetulan, ibu bapa mentua juga rapat dengan keluarga saya, jadi mereka turut beraya bersama di Hulu Langat.

“Lagi pun, ibu bapa mentua tinggal di Setapak, jadi tidak sukar kami membuat perancangan. Suasana Syawal semakin riuh kerana 10 adik-beradik sebelah ibu turut datang beraya.

“Baju raya tetap bertema dan sedondon seperti saya bujang. Tahun ini, kami memilih warna ungu,” katanya.

 

Haqiem dan Sofea sudah bersedia menimang cahaya mata, biarpun usia masih muda.
Haqiem dan Sofea sudah bersedia menimang cahaya mata, biarpun usia masih muda.

 

Pemilik restoran steam boat, Santhai Village itu juga mengesahkan isterinya masih belum berbadan dua.

“Belum ada rezeki lagi menimang cahaya mata. Kami masih merancang, tetapi tidak menolak jika ada rezeki. Kami sebolehnya mahu nikmati momen berdua dan mengukuhkan keserasian.

“Sekiranya ada waktu, saya dan Sofea suka masak bersama. Jika ikutkan usia saya baru 24 tahun, manakala isteri pula 20 tahu, jadi masih terlalu muda.

“Namun, kami bersedia melalui fasa hidup bersama anak, cuma tidak mahu tergesa-gesa. Biar bertenang dahulu dalam tempoh setahun, mungkin kena gandakan usaha selepas itu,” katanya.

Penyanyi kelahiran Hulu Langat itu berkata, dia juga sedang membiasakan kehidupannya sebagai suami.

“Apabila berkahwin, saya kena pandai membahagikan masa bersama isteri, tuntutan kerjaya, keluarga dan rakan. Saya memang kena agihkan masa setiap hari dan minggu.

“Saya bersyukur ramai yang begitu menyayangi saya. Jadi, saya kena pandai membahagi masa. Isteri pula jenis tidak cemburu.

“Sofea sendiri ada waktunya akan meluangkan masa bersama rakan-rakannya,” kata Haqiem.

Dalam perkembangan lain, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, ABPBH 34 itu berkata, dia juga sedang merancang menghasilkan single baharu.

“Selepas single Hitam Saksi Putih yang didedikasi buat isteri, karya seterusnya berjudul Aku Hati Perasaan yang akan dilancarkan selepas Aidilfitri ini.

“Single Aku Hati Perasaan sebenarnya saya peram, sejak empat tahun lalu. Ia berkonsepkan pop balada dengan sedikit sentuhan ‘Brit Pop’ seperti karya kumpulan seberang, Noah.

“Karya ini mengenai soal perasaan ditujukan kepada sesiapa yang pernah menyakiti hati saya. Ia ditujukan secara rawak sama ada kawan mahupun netizen. Liriknya bercerita fasal insan yang tidak ‘ngam’ dengan kita,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat