Lantangnya Suara Seorang Gadis

- Advertisement -

Oleh: Zuraida Kamaruddin

Beberapa minggu lepas kita dikejutkan dengan pendedahan seorang pelajar sekolah bernama Ain Husniza Saiful Nizam (17 tahun) tentang terdapat seorang guru disekolahnya yang berjenaka mengenai jenayah rogol.

Walaupun mendapat reaksi pelbagai dari kalangan netizen, rata-rata bersetuju bahawa tindakan guru tersebut adalah salah dan tindakan perlu diambil terhadap golongan yang meremehkan keseriusan jenayah ini, lebih-lebih lagi dari kalangan golongan pendidik.

Namun begitu, perkara yang lebih merunsingkan lagi adalah apabila kenyataan yang dikeluarkan oleh Ain Husniza itu dikecam oleh sebahagian kecil golongan pendidik yang turut menghamburkan kata-kata tidak senonoh kepada beliau di media sosial.

Perkara ini tidak patut berlaku di Malaysia yang bukan sahaja sebuah negara membangun yang progresif, malah sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Secara jelas dan terang, Islam melarang sebarang lawak jenaka yang merosakkan seperti ini, akhlak sebagai seorang muslim adalah untuk menjaga bukan sahaja perbuatan seseorang individu, tetapi juga pemikiran, pendangan dan juga setiap kata-kata yang diucapkan.

Kelantangan Ain Husniza ini bagaikan satu wake up call yang membuka mata rakyat Malaysia tentang mentaliti kotor yang masih bersarang di dalam minda masyarakat kita. Jika seorang guru yang telah dilatih secara professional untuk mendidik boleh berfikiran dan berkata sedemikian, apatah lagi masyarakat umum di luar sana. Sudah tentu jumlahnya lebih tinggi dan perkara ini amat membimbangkan.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada ibu dan bapa Ain Husniza kerana berjaya mendidik anak gadis beliau menjadi seorang yang begitu peka dengan keadaan sekelliling dan berani untuk menyuarakan pendapat dengan ikhlas dan tanpa gentar.

Ini mengingatkan saya kepada satu kisah coretan Hans Christian Andersen yang berjudul The Emperor’s New Clothes”, yang mana kebenaran tentang sesuatu perkara itu didedahkan oleh seorang budak kecil yang berpadangan jujur. Sedangkan mereka yang berada di sekeliling Maharaja pada ketika tidak mahu menyatakan kebenaran tersebut, hanya kerana takut dianggap bodoh dan mengikut-ikut sahaja keadaan dan situasi semasa, hinggakan satu negara berjaya ditipu oleh dua penjenayah licik.

Sungguhpun berada di dalam serba moden, kelantangan suara seorang anak gadis merupakan sesuatu yang sangat susah untuk dicari. Mungkin kerana kita masih berada di takuk lama yang melihat anak gadis seharusnya memainkan peranan tradisional sahaja, kebanyakkan daripada kita gagal untuk melihat potensi dan semangat juang anak-anak ini.

Di pentas dunia, kita dapat melihat bagaimana tokoh-tokoh wanita muda seperti Greta Thunberg, seorang gadis dari Sweden yang berjaya menarik perhatian dunia kepada isu perubahan iklim dan pencemaran. Begitu juga dengan kelantangan Malala Yousafzai yang memperjuangkan pendidikan untuk anak-anak gadis di Pakistan, sekalipun pernah ditembak dikepala oleh pengganas Taliban. Ini bermaksud, jika kita memberikan lebih peluang kepada anak-anak gadis di negara kita untuk bersuara, lebih banyak solusi yang akan dapat dicapai dan ini bakal meningkatkan lagi keupayaan negara kita untuk menjadi lebih maju dan terkehadapan.

Dua contoh ini adalah antara ribuan anak gadis dari seluruh dunia yang bangkit untuk bersuara demi kebenaran, maka sudah tiba masanya kita di Malaysia mempunyai ikon sebegini. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan isu-isu serius seperti jenayah seksual dikalangan kanak-kanak dan remaja.

Isu-isu serius seperti ini tidak patut dijadikan bahan jenaka kerana kesannya amat besar terhadap pemikiran masyarakat dan komuniti. Sekiranya diremehkan, ia akan merencatkan usaha berterusan untuk kita menghapuskan jenayah ini di dalam masyarakat kita. Golongan pendidik yang menjadi “frontliner” kepada pertumbuhan intelektual negara harus bertanggungjawab dalam membentuk masyarakat progresif yang menolak sebarang perbuatan jenayah terhadap wanita atau apa jua perlakuan jenayah secara total.

Lawak jenaka yang bersifat “double meaning” juga perlu dihentikan kerana ini akan merosakkan sahsiah generasi akan datang di negara ini. Ia tidak harusnya dipaparkan di dalam mana-mana media ataupun diucapkan dikalangan masyarakat. Bagaimana sesuatu perkara itu akan dianggap serius, sekiranya kita terlalu galak untuk meremehkannya sebagai jenaka kosong yang merosakkan adab dan budi pekerti kita?

Ain Husniza perlu dijadikan contoh oleh semua anak-anak gadis di Malaysia, yang mana semangat juang seperti ini harus diterapkan. Sokongan dan dorongan yang jitu harus diberikan oleh segenap lapisan masyarakat demi meningkatkan perkembangan pemikiran di negara ini.

Saya percaya di luar sana terdapat lebih ramai anak gadis yang berani seperti Ain Husniza akan muncul di masa akan datang. Sebelum ini, sekalipun kita mempunyai pemimpin wanita yang lantang dan berani, suara mereka disekat oleh pihak-pihak tertentu yang tidak mahukan pemberdayaan wanita berlaku secara aktif di negara ini. Oleh sebab demikian, sasaran 30% ahli parlimen wanita masih lagi tidak dapat dicapai oleh Malaysia sehingga sekarang.

Saya membayangkan Ain Husniza ini adalah pencetus kepada kebangkitan wanita muda di zaman ini. Adalah menjadi harapan kita untuk melihat lebih ramai lagi wanita-wanita muda akan bangkit atas dasar memperjuangkan prinsip dan kebenaran, yang sekaligus akan membawa satu era baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih gemilang.

Sekali lagi saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Ain Husniza di atas keberanian dan kelantangan beliau. Seorang anak muda yang bangkit untuk memperbetulkan kesalahan dan tidak berganjak dengan prinsip yang digenggam.

YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan Malaysia
Presiden COMWEL
Ahli Parlimen Ampang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat