KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua penjawat awam itu melibatkan Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Bukan cuma itu, Ismail Sabri juga memberitahu kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.

“Pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April 2022.

“Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara,” ujar Perdana Menteri dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.