KUALA LUMPUR- Proses rakaman percakapan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadual Rabu ditangguhkan pada Jumaat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, penangguhan itu disebabkan faktor kesihatan Ismail Sabri.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata Ismail Sabri dijangka hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Rabu untuk memberi keterangan.
Kehadiran itu bagi direkod keterangan kali kedua berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung isu Keluarga Malaysia membabitkan dana pengiklanan dan promosi agenda kerajaan bernilai RM700 juta, lapor BH.
Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri sudah menghantar kepada maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lalu.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM dilapor menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.