PAS akan kekang usaha penjajaran baharu dengan PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebagai orang tengah antara dua parti sahabat yang kini perang dingin, PAS bertegas menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin.

Bukan itu sahaja, parti Islam itu juga berkeras menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah ‘penjajaran baharu’ melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sekutunya,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut beliau, PAS mengikuti secara dekat perkembangan hubungan kerjasama parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), khususnya antara UMNO dan Bersatu yang mendapat perhatian mutakhir ini.

Sehubungan itu kata Takiyuddin , PAS telah mengadakan beberapa pertemuan dan libat urus dengan kedua-dua parti rakan PAS ini, diketuai oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang termasuk yang terbaharu dengan pimpinan tertinggi Bersatu yang turut dihadiri Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 4 Mac 2021.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata, memandangkan isu kerjasama semua parti politik Melayu amatlah penting dalam konteks masa depan politik negara.

“ PAS mengambil ketetapan seperti berikut yakni meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama; mempertegaskan usaha memperkasa Muafakat Nasional (MN), sekali gus mempertahan PN di semua peringkat.

“Selain itu, PAS menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin; dan menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah ‘penjajaran baharu’ melibatkan kerjasama dengan PH atau sekutunya,” tegas Takiyuddin dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu memaklumkan, sehubungan dengan itu PAS komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai utama parti Melayu/Pribumi UMNO, Bersatu dan PAS, bersama rakan-rakan sekutu yang lain demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu lagi sejarah hitam lampau berulang kembali.

“PAS amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan oleh pimpinan parti-parti atas dasar ukhwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.

“Pada masa yang sama PAS turut menekankan buat masa ini sewajarnya semua pihak memberikan sepenuh perhatian bagi menjayakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha memerangi wabak Covid-19 dan pemulihan semula ekonomi negara dengan sebaiknya,” kata Takiyuddin. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat