KUALA LUMPUR- Menteri Pengangkutan Anthony Loke mempersoal tindakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memanggil beliau susulan dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menyifatkan ia bermotifkan politik, Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP turut mempertikai kenyataan Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin itu sama ada ia cubaan mewujudkan persepsi negatif terhadapnya memandangkan beliau adalah seorang menteri daripada DAP.
“Dia (Mas Ermieyati) kena faham struktur MAHB, seolah-olah dia keliru…. saya tak tahu dia tak faham ataupun sengaja tak nak faham MAHB ini sebuah syarikat tersenarai dan ia bukan di bawah Kementerian Pengangkutan.
“Dia cuba nak mengaitkan isu ini dengan Kementerian Pengangkutan, saya tak tahu ada agenda politik atau tidak sebab kebetulan Menteri Pengangkutan ini daripada DAP, jadi dia nak salahkan DAP, apa pun (semua nak) salah DAP,” katanya di Putrajaya pada Rabu, lapor BH.
Sebelum ini, Mas Ermieyati tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu penting termasuk Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan berhubung dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham MAHB oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Mas Ermieyati yang juha Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata Anthony Loke bersama semua individu berkenaan akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding secara berperingkat yang akan bermula minggu kedua bulan ini.
Media sebelum ini melaporkan, beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik mendesak KWSP menjelaskan penjualan saham MAHB yang dimilikinya pada Januari 2023 dengan kadar harga sekitar RM6.74 seunit sebelum membelinya semula pada harga tawaran RM11 seunit dalam usaha menswastakan MAHB.
MCA turut meminta kerajaan menyiasat segera penjualan saham syarikat penerbangan awam itu, sekali gus menyaksikan KWSP hanya mempunyai pegangan saham lima peratus dalam MAHB.