KUALA LUMPUR — Kerajaan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berusaha mengatasi isu kenaikan kos sara hidup rakyat meliputi tujuh kluster keutamaan iaitu perumahan, pendidikan, pengangkutan, utiliti, kesihatan, makanan dan pendapatan.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata kerajaan memperuntukkan hampir RM13 bilion bagi inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.
“Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang mempunyai profil bagi semua 30.1 juta individu warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia juga membolehkan kerajaan menjalankan pemantauan dan penilaian secara berkesan bagi membantu rakyat mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup.
“Laporan Indikator Kos Sara Hidup 2023 yang dilancarkan tahun lepas mengandungi Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup bagi mengukur kos sara hidup dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) berhubung saranan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup seperti yang diterbitkan di bawah laporan Indikator Kos Sara Hidup.
Selain itu jelasnya sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah dan RM700 juta bagi program mengawal harga barang menerusi usaha sama dengan pelbagai pihak.
“Sementara itu bagi Program Penyeragaman Harga Barang di Sabah, Sarawak dan Labuan, sebanyak RM40 juta turut diperuntukkan.
“Bagi memudahkan rakyat, beliau berkata kerajaan menyediakan kalkulator sebagai panduan untuk merancang perbelanjaan dan pengurusan kewangan keluarga menerusi aplikasi MyPAKW yang boleh dicapai pada laman sesawang mypakw.dosm.gov.my,” katanya.