KUALA LUMPUR – Mesyuarat antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg mengenai tuntutan hak negeri itu ke atas sumber minyak dan gas pada 7 Januari lalu, mencapai persetujuan dalam lima perkara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan Sarawak mengiktiraf dan menerima Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] sebagai Akta Persekutuan yang menentukan tatakelola dasar dan pengoperasian industri petroleum di Malaysia.
“Petronas menerima peranan Petros sebagai agregator gas (bukan gas asli cecair) di Sarawak dan bersedia bekerjasama dengan Petros di Sarawak.
“Selain itu, Petronas dan anak-anak syarikatnya tidak perlu dilesenkan dan tidak tertakluk kepada prosedur tambahan melaksanakan pengoperasian petroleum di Sarawak selain yang diperuntukkan dalam Akta 144.
“Semua komitmen perjanjian sedia ada antara Petronas dengan pihak-pihak ketiga termasuk Petros berkaitan aktiviti petroleum di Sarawak adalah sah, perlu diterima pakai dan diteruskan tanpa perubahan.
“Ini adalah semangat kerjasama sepenuhnya antara Petronas dan Petros dalam semua urusan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) berhubung terma penyelesaian antara Petronas dengan kerajaan Sarawak berkenaan tuntutan hak negeri itu atas minyak dan gas yang dikeluarkan dari Sarawak.
Azalina berkata, ketika ini Kerajaan Persekutuan, Petronas dan kerajaan Sarawak sedang memperhalusi beberapa perkara termasuk segi implikasi perundangan berkaitan.