Universiti Malaya pertahankan kenaikan caj perubatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mempertahankan tindakan kenaikan caj hospital secara berperingkat bermula September 2024 dan Januari 2025 sebagai langkah memastikan kesinambungan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi serta kelestarian jangka panjang hospital tersebut.

Menurut kenyataan media PPUM, rasionalisasi caj ini adalah keputusan yang sukar tetapi perlu dilakukan setelah kajian menyeluruh terhadap kos operasi yang semakin meningkat. Langkah ini juga seiring usaha meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan hospital bagi memastikan penjagaan terbaik kepada pesakit.

“Kenaikan ini didorong oleh peningkatan kos teknologi perubatan terkini, harga bekalan perubatan yang semakin meningkat secara global, dan kos operasi untuk mengekalkan fasiliti yang selamat serta moden,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, PPUM turut memberi jaminan bahawa pesakit yang menerima subsidi sedia ada tidak akan terkesan dengan pelarasan ini. Pelbagai program bantuan kewangan disediakan untuk pesakit kurang berkemampuan termasuk pelan pembayaran dan sokongan kebajikan yang disasarkan.

PPUM, sebagai institusi perubatan akademik di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, terus menegaskan komitmennya terhadap kecemerlangan dalam pengajaran, penyelidikan, dan perkhidmatan perubatan. Proses pembelajaran, latihan, dan penyelidikan tidak akan terjejas meskipun pelarasan ini dilakukan.

“Kami menggalakkan komunikasi terbuka. Sebarang pertanyaan mengenai pelarasan caj ini boleh diajukan kepada Unit Taksiran di Lobi Menara Selatan PPUM atau melalui e-mel di [email protected],” menurut kenyataan tersebut.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-7949 2006 atau melayari laman sesawang rasmi PPUM di ummc.edu.my. PPUM juga aktif di media sosial seperti Facebook, YouTube, TikTok, dan Instagram.

PPUM menyeru masyarakat untuk terus memberikan sokongan terhadap usaha mereka dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf antarabangsa sambil memastikan kelangsungan operasi yang mampan. “Penjagaan pesakit kekal sebagai keutamaan kami,” tambah kenyataan itu.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat