Tiada kartel, mafia tentukan harga padi, beras dan benih -Mohamad Sabu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan kewujudan kartel atau mafia yang menentukan harga padi, beras dan benih padi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, ini kerana jumlah pengeluaran sebanyak 39,000 pelbagai lesen seperti Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Lesen Beras Runcit, dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS) jelas menunjukkan tiada kartel atau mafia yang dimaksudkan wujud dan mampu memonopoli industri padi dan beras.

“Merujuk kepada dakwaan kewujudan kartel atau mafia yang menentukan harga padi, beras dan benih padi, KPKM menafikan kewujudan kartel atau mafia tersebut seperti didakwa. Ini kerana jumlah pengeluaran sebanyak 39,000 pelbagai lesen seperti Lesen Borong Beras, Lesen Eksport, Lesen Import, Lesen Kilang Padi, Lesen Membeli Padi, Lesen Beras Runcit, dan Kelulusan Khas Menjual Benih Padi bagi benih padi sah (BPS) jelas menunjukkan tiada kartel atau mafia yang dimaksudkan wujud dan mampu memonopoli industri padi dan beras.

“Bagi BPS pula, KPKM telah memperuntukkan sebanyak 72,000 metrik tan benih padi sah bagi memenuhi keperluan pesawah bagi tahun 2023,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad juga memaklumkan, lesen pengilangan benih padi sah ini juga turut diberi kepada syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) bagi membekalkan benih padi kepada pesawah. Pengesahan BPS melalui ujian makmal dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

“Bagi memastikan semua peruncit menjual benih padi sah mengikut harga yang ditetapkan oleh Kerajaan dan tiada sebarang unsur penyorokan BPS, pelaksanaan Task Force Operasi Benih Padi Sah (OP BPS) telah diadakan pada 7 hingga 21 November 2023.

“Sepanjang tempoh tersebut, KPKM telah menarik balik sebanyak 22 lesen penjualan benih padi sah milik peruncit yang melanggar syarat lesen,” katanya.

Justeru menurut beliau, KPKM memberi peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam isu ini.

“Tindakan tegas akan diambil seperti pembatalan lesen sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang,” ujar beliau.

Jelas Mohamad, industri padi dan beras negara dikawal selia oleh Kawal selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

“Melalui akta ini, Kementerian melaksanakan aktiviti kawal selia melalui pelesenan dan penguatkuasaan untuk memastikan industri padi dan beras berkembang secara sihat dan teratur.

“Akta ini juga memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras dalam mengeluarkan lesen dan permit bagi urus niaga padi dan beras meliputi pengilangan, pemborongan, peruncitan, import/eksport dan pemindahan antara negeri,” katanya.

“Para pesawah dan pengguna dinasihatkan supaya menyalurkan aduan atau maklumat secara rasmi kepada Kementerian jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang melalui saluran:

i. Portal Aduan KPB : https://skpb.kpkm.gov.my/adu
ii. E-mel Rasmi : [email protected]
iii. Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya: 03-88701751/1748/1183

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat