KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa memilih untuk bertenang buat masa ini selepas posisinya digantikan Datuk Seri Ahmad Maslan.
Hari ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Ahmad Maslan menggantikan Annuar sebagai Setiausaha Agung BN dan Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN) berkuatkuasa serta merta.
“Ramai yang minta komen, saya tiada apa komen buat masa ini..Tempoh bertenang,” ciap Annuar di Twitternya, hari ini.
Beliau turut berkongsikan mesej kirimannya kepada Zahid.
Katanya, beliau diberitahu oleh media dirinya dipecat sebagai Setiausaha Agung BN dan MN.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih atas kesempatan berkhidmat di kedua-dua jawatan tersebut sebelum ini.
“Selamat maju jaya Datuk Seri Presiden,” ucapnya.
SuaraTV melaporkan, Zahid mengumumkan keputusan tersebut dalam ucapan semasa perjumpaan khas dengan Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.
Penggantian Annuar ini dipercayai merupakan sebahagian hala tuju baharu UMNO yang turut mengumumkan penarikan sokongan kepada kerajaan sebelum 1 Februari ini.