Anwar boleh tak dengar cakap saya, tapi tak boleh abai suara pengundi Sabah – Guan Eng

KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menunjukkan bahawa pengundi tidak berpuas hati atau tidak gembira dengan cukai tambahan yang melibatkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), e-invois dan bayaran balik tertangguh bagi lebihan cukai yang telah dibayar.

Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh memilih untuk tidak mendengar beliau.

“Namun, beliau tidak mampu untuk mengabaikan suara pengundi Sabah.

“Berbuat demikian akan menjejaskan prospek PH dan DAP serta sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Saya menggesa Perdana Menteri untuk mempertimbangkannya semula,” tegas Ahli Parlimen Bagan itu.

Guan Eng menjelaskan, peringatan beliau kepada Anwar sudah lama dibangkitkan bukan hanya selepas DAP kalah dan PH cuma dapat satu kerusi DUN Sabah.

“Tuduhan bahawa saya hanya membangkitkan kesusahan rakyat akibat peluasan asas percukaian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), e-invois dan bayaran balik tertangguh bagi lebihan cukai yang telah dibayar, hanya selepas dan bukan sebelum pilihan raya umum negeri Sabah adalah tidak berasas dan tidak benar.

“Saya merujuk kepada kenyataan saya semasa sidang media di Parlimen semalam untuk menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya mempercepatkan bayaran balik lebihan cukai sebanyak RM115,000 kepada seorang pemilik perniagaan PKS, Cheong Wei Foong dari Puchong, yang telah ditahan secara tidak adil oleh LHDN selama 5 tahun sejak 2020.

“Sebelum pilihan raya umum negeri Sabah, saya telah berucap berkali-kali di Parlimen menggesa kerajaan untuk menangguhkan dan mengkaji semula peluasan skop SST, e-invois, sumbangan 2 peratus oleh majikan kepada KWSP untuk pekerja asing mereka serta cukai-cukai lain. Sejak Disember 2024, saya telah membuat sekurang-kurangnya 7 ucapan di Parlimen membantah peluasan skop SST dan langkah-langkah lain yang membebankan rakyat.

“Malah pihak media di Parlimen juga boleh mengingati dan mengesahkan bahawa saya telah berulang kali membuat ucapan meminta kajian semula dan penangguhan langkah-langkah SST, cukai dan lain-lain ini. Tujuh ucapan di Parlimen tersebut dibuat pada 4 Disember 2024, 5 Februari 2025, 3 Mac 2025, 6 Mac 2025, 5 Mei 2025, 6 Ogos 2025 dan 16 Oktober 2025.

“Malangnya, rayuan saya yang dibuat lebih 7 kali dalam ucapan di Parlimen sejak 4 Disember 2024 tidak diendahkan oleh Kerajaan Persekutuan atau oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebaliknya, Perdana Menteri tetap meneruskan pelaksanaan langkah-langkah tersebut pada separuh kedua tahun 2025,” jelas Guan Eng.

Namun kata beliau, keputusan pilihan raya umum negeri Sabah menunjukkan bahawa pengundi tidak berpuas hati atau tidak gembira dengan cukai tambahan ini.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat