PN Tioman Lapor Polis Cubaan Rasuah Calon BN Berkait Isu Geran Tanah

- Advertisement -

TIOMAN – Dua laporan polis dibuat oleh Perikatan Nasional (PN) Tioman terhadap calon Barisan Nasional (BN) DUN Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berhubung janjinya menyelesaikan isu pemberian geran tanah kepada penduduk sebelum hari pengundian Rabu ini.

Dua laporan polis dibuat terhadap Johari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Rompin pada jam 2 petang tadi kerana didakwa wujudnya cubaan merasuah pengundi.

Difahamkan, laporan terbabit dibuat susulan kenyataan janji yang dibuat penyandang kerusi Tioman itu kepada masyarakat di Kampung Jawa Pantai, dalam pertemuan bersama penduduk pada 30 November lalu.

Sebelum ini Suara.TV pernah melaporkan Johari memberi jaminan kepada penduduk kampung itu untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah mereka yang tertunggak sejak tahun 1979 dengan kadar segera sebelum 7 Disember ini.

Ini susulan penduduk di kampung terbabit menyuarakan permintaan mereka kepada Johari supaya beliau menyelesaikan isu geran tersebut jika mahu memperoleh undi daripada penduduk di situ.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Mohd Azahari Mukhtar yang dihubungi turut mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Johari ketika ditemui di sini petang ini turut mengambil maklum berkenaan laporan dibuat ke atasnya.

“Dalam hal ini saya serahkan kepada pihak perundangan dalam kerajaan negeri Pahang serta parti untuk melihat lebih ‘detail’ laporan tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, beliau berkata, ia merupakan satu perkara biasa dalam suasana berpolitik.

“Masing-masing akan membuat itu dan ini, mungkin juga perkara ini (laporan polis).

“Kita kalau nak buat laporan polis, banyak lagi laporan yang pihak kami boleh buat. Tapi kita nak tumpukan kepada pilihan raya.

“Biar kita buat kerja kita sahaja. Kita sekarang ni bukan masalah nak saman atau tak, buat laporan polis atau tak, yang lebih penting ialah kita nak memenangkan BN dan segera beri ruang untuk berkhidmat kepada masyarakat dan rakyat jelata,” kata Johari.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Santai Petang bersama Nelayan yang turut disertai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Perkampungan Nelayan pada Ahad. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat