JAKARTA – Ketua Staf Kepresidenan Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, yang juga bekas Ketua Polis Republik Indonesia (Polri), ditahan selepas ditetapkan sebagai suspek dalam kes pengintipan telefon Presiden Prabowo Subianto.
Penahanan pegawai kanan yang berkhidmat secara langsung dalam pentadbiran Presiden itu diumumkan Ketua Badan Siasatan Jenayah Polri (Bareskrim), Komisioner Jeneral Asep Safrudin, dalam sidang media di ibu pejabat Polri, Jakarta, malam Selasa.
Menurut laporan agensi berita ANTARA dan detikcom, Listyo Sigit merupakan seorang daripada tiga pegawai kanan polis yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengintipan komunikasi secara haram antara 2025 hingga 2026.
Dua lagi suspek ialah Ketua Bahagian Undang-Undang Polri, Inspektor Jeneral Ahrie Sonta Nasution dan pegawai kanan latihan polis, Inspektor Jeneral Eko Hadi Santoso.
Asep berkata, ketiga-tiga individu yang dikenal pasti melalui singkatan LSP, ASN dan EH ditetapkan sebagai suspek selepas pihaknya menjalankan siasatan termasuk memeriksa 10 saksi dan tiga pakar.
Menurutnya, siasatan mendapati beberapa nombor telefon dimasukkan ke dalam sistem pemintasan komunikasi polis tanpa melalui prosedur pengesahan yang ditetapkan.
Antara nombor telefon yang didakwa menjadi sasaran ialah milik Presiden Prabowo sendiri, selain beberapa menteri, pegawai kanan kerajaan, tokoh politik, pengamal media, pemimpin pertubuhan masyarakat dan ahli perniagaan.
Kegiatan itu dipercayai dilakukan menggunakan sistem Lawful Interception Management System (LIMS), iaitu kemudahan pemintasan komunikasi yang digunakan dalam penguatkuasaan undang-undang.
Bagaimanapun, penyiasat mendakwa sistem berkenaan telah disalahgunakan bagi memantau komunikasi individu tanpa asas siasatan jenayah yang sah.
Suspek turut dipercayai mengarahkan pemadaman rekod dan data hasil pengintipan pada Oktober lalu bagi menghapuskan jejak kegiatan tersebut.
Polis merampas 11 telefon bimbit, sebuah iPad dan empat pemacu kilat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan di rumah tahanan ibu pejabat Polri bagi membantu siasatan lanjut.
Listyo Sigit sebelum ini mengetuai Polri dari 2021 hingga 2026 sebelum dilantik sebagai Ketua Staf Kepresidenan oleh Presiden Prabowo pada 1 Oktober lalu.
Pelantikannya dibuat bagi menggantikan Jeneral Bersara Dudung Abdurachman yang dilantik sebagai Menteri Penyelaras Politik dan Keselamatan Indonesia.
Malah, pada 19 Oktober lalu, Listyo Sigit dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Prabowo di Istana Merdeka bagi menerima arahan khusus berhubung pelaksanaan program keutamaan kerajaan dan beberapa isu strategik negara.
Penahanannya kira-kira sebulan selepas pelantikan tersebut menjadikan kes ini turut melibatkan kedudukan seorang pegawai kanan yang mempunyai hubungan kerja secara langsung dengan Presiden.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia, Yusril Ihza Mahendra, mengesahkan kerajaan belum membincangkan pelantikan pengganti Listyo Sigit.
Menurut Yusril, kerajaan ketika ini memberikan keutamaan kepada proses penguatkuasaan undang-undang dan siasatan terhadap kes berkenaan.
“Belum sama sekali. Kita sedang memberikan tumpuan kepada usaha penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam sidang media di Jakarta, malam Selasa.
Bagaimanapun, beliau mengakui tugas Ketua Staf Kepresidenan perlu diteruskan dan boleh dilaksanakan sementara oleh pemangku jawatan atau pegawai kanan pejabat berkenaan.
Yusril turut mengesahkan Presiden Prabowo telah dimaklumkan mengenai kes pengintipan tersebut melalui laporan Ketua Polis Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto.
Menurutnya, kerajaan memandang serius dakwaan berkenaan kerana ia membabitkan keselamatan komunikasi Presiden dan kemungkinan penyalahgunaan kemudahan pengintipan oleh anggota institusi penguatkuasaan.
Kerajaan Indonesia juga akan menilai semula penggunaan peralatan pengintipan oleh agensi kerajaan dengan kerjasama Badan Siber dan Sandi Negara (BSSN) serta kementerian berkaitan.
Bagaimanapun, Yusril menjelaskan siasatan setakat ini tidak menunjukkan unsur cubaan menggulingkan kerajaan atau makar, sebaliknya tertumpu kepada dakwaan pengintipan tanpa kebenaran dan penyalahgunaan akses elektronik.
Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polri, Inspektor Jeneral Johnny Eddizon Isir, menegaskan institusi polis tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang didapati melakukan kesalahan.
Menurutnya, siasatan terhadap pegawai kanan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memastikan integriti pasukan polis terus dipelihara.
Kes berkenaan kini mencetuskan persoalan mengenai kawalan terhadap penggunaan sistem pemintasan komunikasi negara, khususnya apabila individu yang didakwa terlibat pernah mengetuai institusi polis dan kemudian dilantik memegang jawatan penting dalam pentadbiran Presiden.
Bagaimanapun, motif sebenar kegiatan pengintipan masih belum diumumkan dan ketiga-tiga suspek belum disabitkan dengan sebarang kesalahan oleh mahkamah.
– SuaraTV



