KUALA LUMPUR – Umno masih belum membuat sebarang perbincangan mengenai kemungkinan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan kembali menyertai parti itu.
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau sendiri tidak berbincang atau menyentuh perkara berkenaan ketika bertemu Khairy pada majlis perkahwinan anak perempuan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman pada dua minggu lalu.
“Setakat ini (Umno) belum lagi (buat sebarang perbincangan).
“Saya cuma bertemu dengan beliau di majlis perkahwinan dan kita tidak bincangkan apa-apa pun,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama pada Festival Idea (FOI) Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa.
Justeru dengan kenyataan itu Zahid menafikan dakwaan kononnya beliau mempelawa bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk kembali menyertai parti itu.
Penafian tersebut dibuat susulan laporan beberapa portal berita sebelum ini yang mendakwa Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dijangka menyertai semula Umno menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung hujung bulan depan.
Menurut laporan sama, Khairy yang kini bertugas sebagai penyampai radio dikatakan telah mendapat restu daripada pimpinan tertinggi Umno, khususnya Presiden parti untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.
Difahamkan, Khairy menyatakan hasrat untuk kembali menyertai Umno dalam satu pertemuan tidak rasmi bersama Zahid pada majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi Umno Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Zahid menegaskan bahawa pertemuannya dengan Khairy hanyalah secara kebetulan dan tidak melibatkan sebarang perbincangan politik.
“Saya amat menghormatinya dan tidak mahu menyanggah mana-mana wartawan yang menulis mengenai perkara itu, seperti mana yang pernah disanggah oleh seseorang,” ujarnya.



