KALABAKAN – Barisan Nasional (BN) tidak akan mencalonkan semula Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy, bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan berlangsung tahun hadapan.
Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas melancarkan Program Gerak 17 UMNO bagi kawasan DUN Tanjung Batu, di sini, semalam.
Andi Muhammad merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu dan Ahli Parlimen Kalabakan yang menang bertanding atas tiket BN namun ketika ini dilihat cenderung bersama Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS).
Menjawab soalan pemberita kemudiannya, Bung menyatakan Andi boleh bertanding atas tiket parti lain atau tiket bebas jika mahu mempertahankan kerusi tersebut.
“Kalau dalam UMNO dan Barisan Nasional, no room for him. UMNO tidak mahu pengkhianat, cukup, cukuplah.” tegas Bung
Bagaimanapun Bung turut mengingatkan Andi bahawa beliau akan kehilangan kerusi Parlimen Kalabakan sekiranya bertanding atas tiket parti lain atau sebagai calon bebas.
Dalam PRN Sabah ke-16 lalu, Andi Muhammad Suryady Bandy menang dengan majoriti 2,123 undi.Suryady menang dengan jumlah undi 4,728 undi mengalahkan pencabar terdekatnya daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang mendapat undi 2,605.
Andi merupakan antara Adun BN yang mengambil keputusan bertentangan dengan parti dalam krisis kepimpinan negeri Sabah tahun lalu.
Selain Andi, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmy Yahya Shahelmy juga mengalami nasib yang sama bagi DUN Tanjung Keramat.
UMNO juga mungkin tidak mencalonkan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) yang bersama Shahelmy semasa krisis tahun lalu.
Sementara itu, BN Sabah bercadang untuk meletakkan calon di semua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kalabakan pada PRN akan datang.
Bung Moktar berkata, pihaknya akan meneliti kekuatan jentera di semua kerusi DUN berkenaan sebelum membuat sesuatu keputusan.
Katanya, kawasan yang mana mempunyai kekuatan 50 peratus ke atas akan diberikan keutamaan untuk diletakkan calon.
“Setakat ini saya berpuas hati dengan kekuatan di DUN Tanjung Batu, selain ia sememangnya kubu kuat dan milik UMNO sejak dari dulu lagi.
“Untuk DUN Kukusan, Merotai dan Sebatik, kita akan lihat sekiranya kawasan itu mempunyai kekuatan 50 peratus ke atas, sudah pasti kita letak calon kerana peluang ada,” katanya.