Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Timbalan Akauntan Negara (Korporat) Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Zainani Jusoh telah dilantik sebagai Akauntan Negara Malaysia (ANM) yang baharu berkuat kuasa 3 September 2025.
Menerusi kenyataan JANM memaklumkan, surat pelantikan Zainani sebagai ANM telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dekat sini pada 27 Ogos lalu.
Pelantikan ini bagi menggantikan Datuk Nor Yati Ahmad yang telah bersara wajib pada 2 September 2025.
Zainani anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan merupakan seorang Akauntan Bertauliah dan ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA) dan ahli The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA).
“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berpengalaman sebagai penjawat awam lebih dari 30 tahun apabila mula menyertai sektor awam pada 1994 sebagai Akauntan di Pasukan Petugas Sistem Perakaunan Mikro, JANM.
“Sepanjang perkhidmatan, beliau telah berkhidmat di pelbagai jabatan dan kementerian antaranya, Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar Negeri (KLN) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Berpengalaman luas dalam pengurusan perakaunan dan kewangan sektor awam serta pembangunan sistem perakaunan Kerajaan, ”kata kenyataan itu.
“Antara sumbangan besar beliau dalam pembangunan sistem perakaunan kerajaan adalah terlibat dalam menukar landskap pengurusan perakaunan di kedutaan Malaysia luar negara dari manual kepada pendigitalan.
“Perubahan yang besar ini membantu pengurusan kewangan di semua kedutaan Malaysia dapat diuruskan dengan lebih cekap, tepat dan cepat.
“Beliau telah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Khidmat Perunding JANM dan Pengarah Bahagian Akaun Kementerian Kewangan pada 2019 sehingga 2023, kemudiannya telah dilantik sebagai Timbalan Akauntan Negara (Korporat) pada September 2023.
“Perkhidmatan cemerlangnya diakui apabila beliau dianugerahkan darjah kebesaran Bentara Setia Mahkota sempena Hari Keputeraan
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada 2015, ”katanya lagi.
“JANM merakamkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada pihak kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Zainani Jusoh bagi menggalas tugas dan amanah sebagai ANM,”tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas ANM, Datuk Nor Yati Ahmad kepada Zainani Jusoh telah berlangsung di Dewan Serbaguna, Aras 7, JANM dekat sini pada Isnin. – SUARA.TV



