Cyberjaya – Seorang wanita berusia 41 tahun yang menimbulkan kekecohan pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak baru-baru ini akan dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan sebaik sahaja tempoh remannya tamat hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, mengesahkan perkara tersebut kepada media.
“Reman tamat, kita rujuk suspek ke HBUK,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
Tambah beliau, pihak polis masih menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara sama ada suspek akan dituduh di mahkamah atau sebaliknya.
Sebelum ini, wanita berkenaan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan, selepas cubaan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, di atas pentas utama ketika lagu kebesaran negeri dimainkan.
Tindakan pantas pasukan keselamatan berjaya menghalang insiden tersebut daripada berlanjutan.
Siasatan turut mendedahkan wanita itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, namun ujian air kencing terkini menunjukkan keputusan negatif. Selain itu, polis juga mengesahkan beliau pernah menerima rawatan psikiatri dan kini masih dalam pemantauan pakar.



