KUALA LUMPUR – Kabinet Sabah hari ini mengesahkan tidak pernah membuat sebarang komitmen kewangan RM100 juta seperti diumum Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk menyokong acara Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan, Kerajaan Negeri Sabah belum bersedia menjadi “co-host” Sukan SEA 2027 memandangkan kemudahan sukan di Sabah masih perlu dipertingkatkan.
“Mesyuarat Kabinet Sabah hari ini mengesahkan tidak pernah membuat sebarang komitmen kewangan bagi penganjuran Sukan SEA 2027.
“Kerajaan Sabah juga belum bersedia menjadi co-host kerana kemudahan-kemudahan sukan di Sabah masih perlu dipertingkatkan,” jelas Masidi dalam kenyataan di aplikasi X pada Rabu.
Terdahulu, Umno Sabah menuntut penjelasan yang telus daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin berkait ikrar RM100 juta dari Sabah untuk menyokong acara Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027.
Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir menuntut penjelasan itu kerana ia bakal menggunakan wang rakyat, justeru rakyat berhak mengetahui ke mana wang mereka akan dibelanjakan oleh kerajaan.
Sebelum ini, Hannah telah menyatakan bahawa, selain Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang juga akan menjadi tuan rumah bersama acara sukan antarabangsa itu, masing-masing menyumbang RM300 juta dan RM15 juta, kepada kos keseluruhan RM700 juta.