KUALA LUMPUR – Malaysia dan Rusia sepakat untuk meningkatkan tahap kerjasama yang lebih mantap di semua lapangan selain akan secara bersama mempatri hubungan kerjasama yang lebih baik terutamanya di peringkat antara negara dan persahabatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam pertemuannya dengan Presiden Persekutuan Rusia Vladimir Putin di Kepulauan Russkiy, Vladivostok lewat petang tadi menyentuh mengenai pelbagai perkara yang menjadi kepentingan yang dikongsi secara bersama.
Selain menekankan wujudnya potensi atau peluang yang sedia besar namun tidak dimanfaatkan sepenuhnya, kata Anwar dalam kenyataan pada Rabu.
“Bertemu Presiden Persekutuan Rusia Vladimir Putin di Kepulauan Russkiy, Vladivostok lewat petang tadi di mana kami menekuni hubungan serta tahap kerjasama yang sedia terjalin erat.
“Kami menyentuh mengenai pelbagai perkara yang menjadi kepentingan yang dikongsi secara bersama, selain menekankan wujudnya potensi atau peluang yang sedia besar namun tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kami lantas bersetuju untuk meningkatkan tahap kerjasama yang lebih mantap di semua lapangan selain akan secara bersama mempatri hubungan kerjasama yang lebih baik terutamanya di peringkat antara negara dan persahabatan,” jelas beliau.
Perkembangan lain, Anwar turut menyatakan kepada Presiden Putin bahawa hubungan antara ASEAN dan Rusia akan diperkemas dan ditambah baik saat Malaysia mempengerusikan ASEAN kelak.
“Presiden Putin turut berkesempatan mengucapkan yang terbaik buat Malaysia untuk Kepengerusian ASEAN kelak,” kata Anwar.