Zahid kemuka rayuan dibebaskan sepenuhnya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengemukakan rayuan agar beliau dibebaskan sepenuhnya daripada kesemua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan esok.

Terdahulu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kes itu bagi membolehkan siasatan lebih mendalam dilakukan.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal berkata, pihak pembelaan telah mengemukakan lapan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar pertuduhan terhadap anak guamnya dikaji.

“Representasi terbaharu dikemukakan untuk mengkaji dan menarik balik pertuduhan-pertuduhan tersebut atas alasan pertuduhan itu tidak berasas,” ujarnya lapor Utusan pada Isnin.

Ahmad Zaidi berkata berikutan keputusan Peguam Negara, pihaknya percaya ia berkemungkinan akan dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu.

Ujar beliau, ini bukan kali pertama Peguam Negara menggunakan budi bicara yang ada sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang untuk mengambil tindakan untuk menarik balik pertuduhan dari pendakwaan di mahkamah.

Sementara itu, Zahid pula melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada ahli keluarga dan barisan peguam berikutan keputusan mahkamah yang menghentikan prosiding terhadapnya.

“Tugasan kami dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk meneruskan perjuangan agar lemparan tuduhan yang bermotifkan politik dapat dihentikan,”katanya.

Zahid, 70, telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat sebagai asas pertimbangan agar kesemua pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat