Kerajaan lulus permohonan pekerja asing untuk tiga sektor – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor iaitu melibatkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas yang sebelum ini dibekukan sejak 14 tahun lalu.

Bagaimanapun, Anwar berkata, kelulusan itu hanya melibatkan sebahagian daripada 15,000 permohonan berkenaan kerana kerajaan mahu mengutamakan rakyat tempatan.

Beliau juga meletakkan syarat bahawa golongan belia tempatan perlu diberi latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja melibatkan tiga sektor tersebut.

“Kerajaan beri kelulusan, tetapi beri sedikit sahaja. Saya tidak mahu beri penuh sebab mesti cari jalan untuk memberi latihan pada golongan muda tempatan melalui TVET (Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional).

“Perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini kerana ia melibatkan keperluan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur di Medan Selera Madani di Kompleks Tun Sambanthan, pada Isnin.

Hadir sama dalam program itu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K. Saraswathy.

Pada 14 Mac lalu, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia, N. Gobalakrishnan berkata, kira-kira 10,000 perniagaan India dalam tiga sektor mungkin terpaksa ditutup kerana Permohonan Lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk baki pekerja asingnya akan ditamatkan secara berperingkat.

Tiga sektor itu ialah tukang emas, tekstil dan tukang gunting rambut yang kekurangan pekerja sejak pembekuannya pada 2009.

Dalam pada itu, Anwar berkata, lesen yang diberi kepada rakyat negara ini mesti digunakan orang tempatan.

“Jika didapati lesen ini diserah kepada orang asing, kerajaan akan batalkan lesen yang diberi itu. Kita akan serah kepada orang lain (warga tempatan),” katanya.

Sementara itu, Sivakumar ketika ditemui pemberita berkata, jumlah tenaga kerja asing yang diperlukan untuk sektor melibatkan kedai gunting, tekstil dan kedai emas adalah 15,000 orang.

“Kesemua sektor ini menghadapi masalah sejak beberapa tahun kerana mereka tidak boleh membawa pekerja asing bekerja dalam ketiga-tiga sektor ini kerana ia dibekukan.

“Banyak usaha diambil untuk membolehkan orang tempatan bekerja dalam sektor ini, tetapi, banyak kekangan menyebabkan mereka sukar mendapat tenaga kerja tempatan, maka, permintaan untuk kesemua sektor ini berterusan bertahun-tahun,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat