Didakwa Minta Habuan, Mahdzir Terkilan Arah Peguam Ambil Tindakan

- Advertisement -

CYBERJAYA- Bekas menteri pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan keterangan saksi bahawa dia mahu mendapatkan “habuan” RM60 juta daripada Jepak Holdings (Jepak), berkait dengan projek solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Mahdzir menyifatkan keterangan bekas rakan perniagaan Jepak, Rayyan Radzwill Abdullah dalam perbicaraan kes rasuah terhadap Rosmah Mansor semalam sebagai “mengejutkan” dan satu percubaan untuk menjatuhkan reputasinya.

“Saya terkejut dengan kenyataan saudara Rayyan (Radzwill) tersebut. Saya telah menafikan tuduhan-tuduhan itu semasa saya dipanggil sebagai saksi dan memberi keterangan di mahkamah dalam kes yang sama sebelum ini.

“Jujur saya kongsikan yang saya terkilan dengan penulisan-penulisan yang saya baca. Rata-rata kelihatan seperti cubaan menjejaskan dan memburukkan imej dan reputasi saya di mata rakyat.

“Penulisan-penulisan ini telah memberi kesan tidak elok kepada pekerjaan-pekerjaan yang diamanahkan kepada saya,” katanya yang kini pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Rayyan ketika pemeriksaan balas dengan peguam Rosmah mendakwa Mahdzir ketika menjadi menteri pendidikan mahu mendapatkan “habuan” RM60 juta daripada syarikat itu atas kelulusan projek solar hibrid tersebut.

Keterangan Rayyan itu, yang merupakan saksi pendakwaan ke-16, bertentangan dengan penafian Mahdzir ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes itu Februari lalu.

Sementara itu, Mahdzir yang juga anggota Parlimen Padang Terap berkata dia sedang berhubung dengan peguamnya untuk mendapatkan nasihat berhubung tindakan perundangan sewajarnya untuk menjaga nama baik dan kepentingannya.

“Saya tidak boleh putuskan sebarang tindakan undang-undang lagi kerana saya tidak tahu apa dikatakan oleh saudara Rayyan di mahkamah dan saya telah minta peguam saya untuk memohon mendapatkan nota keterangan daripada mahkamah sebelum saya komen dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini.

“Walaupun begitu, saya sarankan kepada orang ramai dan pengamal media untuk tidak membuat andaian dan tanggapan berdasarkan hanya daripada sumber yang terhad.

“Saya yakin fungsi mahkamah adalah untuk menentukan suatu fakta itu sah dan betul, berkenaan apa jua keterangan yang di berikan oleh mana-mana saksi di dalam perbicaraan. Semua pihak, termasuk saya sendiri hendaklah menghormati fungsi tersebut dan tidak mendahului mahkamah dalam hal ini,” katanya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat