Nik Nazmi gembira mahkamah batal keperluan notis berhimpun, inilah reformasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Nik Nazmi Nik Ahmad berharap keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan keperluan memberikan notis lima hari bagi penganjur perhimpunan menjadi titik tolak kepada semua pihak berkuasa dan institusi kerajaan untuk terus menghormati, melindungi dan memudah cara pelaksanaan hak asasi rakyat.

Justeru Ahli Parlimen Setiawangsa itu memandang positif kenyataan awal Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk melaksanakan pindaan terhadap Seksyen 9(5) serta membawa cadangan pindaan kepada peruntukan undang-undang yang terkesan dalam sidang Parlimen akan datang ini.

“Ia juga menjadi peringatan penting bahawa undang-undang yang menindas suara rakyat harus dikaji semula dan dipinda agar sejajar dengan semangat reformasi dan prinsip hak asasi manusia.

“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua yang teguh memperjuangkan kebebasan berhimpun iaitu para peguam, aktivis, organisasi masyarakat sivil, dan wira-wira tidak didendang yang tidak pernah lelah menuntut keadilan.

“Kepada Amir Hadi, tahniah atas kemenangan ini. Ia adalah kemenangan anda, dan juga kemenangan untuk seluruh rakyat Malaysia,” ucap Nik Nazmi.

Tegas bekas Naib Presiden PKR itu lagi, kes ini membuktikan kepentingan institusi kehakiman yang bebas, dan ia tidak boleh diambil mudah sebagai salah tunjang negara demokrasi berparlimen seperti Malaysia.

“Saya menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) sebagai tidak berperlembagaan dan mengarahkannya untuk dimansuhkan daripada Akta tersebut.

“Keputusan ini melibatkan sahabat saya Amir Hadi kerana menganjurkan himpunan memprotes skandal LCS. Saya sendiri hadir dan berucap di himpunan tersebut.

“Keputusan ini bukan sahaja selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman, malah memperkukuh asas negara demokrasi yang sentiasa ditegakkan oleh rakyat Malaysia.

“Saya sendiri pernah didakwa di bawah peruntukan ini pada tahun 2013 susulan penglibatan saya dalam penganjuran Himpunan Black 505. Pada 2014, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa Seksyen 9(5) adalah tidak berperlembagaan ketika melepaskan dan membebaskan saya.

Namun saya didakwa berkali-kali dan naik turun mahkamah. Akhirnya saya telah menang saman ke atas Kerajaan Malaysia dan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail dan menerima ganti rugi RM230,000,” katanya.

Menurut Nik Nazmi, hanya kini lebih sedekad kemudian ketidakadilan itu akhirnya ditebus melalui penghakiman tertinggi negara.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan ini memperkukuh pendirian Mahkamah Rayuan dan membawa mesej yang jelas: rakyat tidak sepatutnya dihukum hanya kerana gagal memberikan notis kepada polis di bawah Seksyen 9(1) APA.

“Hak untuk berhimpun adalah hak asasi dan ia tidak boleh dihukum atas alasan teknikal semata-mata,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat