Syed Mokhtar Kemuka Tawaran Jadikan MMC Sebagai Syarikat Persendirian

KUALA LUMPUR: Tan Sri Syed Mokhtar Shah Syed Nor menawarkan untuk menjadikan MMC Corporation Bhd sebagai syarikat persendirian menerusi kaedah pengurangan modal terpilih (SCR) pada RM2.94 bilion atau RM2 sesaham bagi setiap saham biasa dan langkah pembayaran balik.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, MMC menjelaskan pihaknya telah menerima surat daripada Seaport Terminal (Johore) Sdn Bhd (STJSB) yang memintanya melaksanakan langkah SCR dan pembayaran balik berdasarkan Seksyen 116 Akta Syarikat 2016.

STJSB memegang 51.76 peratus kepentingan atau 1.58 bilion saham dalam MMC.

MMC menambah, cadangan itu merangkumi SCR dan pembayaran balik modal yang sesuai dengan jumlah tunai yang dicadangkan iaitu RM2 untuk setiap saham biasa dalam MMC yang dipegang oleh semua pemegang saham MMC (selain STJSB dan mereka dengan tujuan yang sama) yang nama mereka tersenarai dalam Rekod Depositor MMC setakat penutupan perniagaan pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan serta diumumkan kemudian oleh lembaga pengarah.

MMC turut menyertakan surat tersebut dalam pengumuman yang dibuatnya kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Surat tawaran SCR daripada STJSB bertarikh 3 Jun, 2021 itu menjelaskan Syed Mokhtar adalah pemegang keseluruhan kepentingan ekuiti dalam STJSB secara tidak langsung menerusi Indra Cita Sdn Bhd.

Tawaran tersebut adalah bagi baki 1.46 bilion saham atau 48.24 peratus kepentingan yang tidak dimiliki oleh STJSB.

Justeru, ia perlu membayar RM2.94 bilion atau RM2 sesaham bagi tujuan berkenaan.

Surat tawaran oleh STJSB itu juga memaklumkan selepas kelulusan dan pelaksanaan cadangan SCR itu berjaya, modal saham MMC akan berkurangan sebanyak RM2.93 bilion menerusi pembatalan saham MMC yang bernilai RM1.46 bilion yang dipegang oleh pemegang saham yang berhak pada harga tawaran SCR.

Bagaimanapun, memandangkan pengurangan modal daripada cadangan SCR itu adalah lebih tinggi daripada modal saham terbitan sedia ada MMC berjumlah RM2.34 bilion yang terdiri daripada 3.04 bilion saham biasa, maka untuk memudahkan transaksi, satu terbitan bonus dicadangkan dilakukan oleh MMC, menurut surat tersebut.

Ia bertujuan meningkatkan modal saham MMC sehingga ke tahap yang mencukupi untuk melaksanakan SCR yang dicadangkan.
STJSB akan kekal memegang baki saham MMC sebanyak 1.58 bilion yang merupakan jumlah keseluruhan bagi modal saham terbitan MMC dan ini sekali gus menjadikan MMC sebagai anak syarikat milik penuh STJSB apabila cadangan SCR tersebut selesai.

Dalam surat itu juga, STJSB menjelaskan ia tidak berhasrat mengekalkan penyenaraian MMC di Pasaran Utama, Bursa Securities dan ia meminta MMC supaya mengemukakan permohonan bagi penyahsenaraian selain mengeluarkan status penyenaraian daripada Senarai Rasmi Bursa Securities apabila cadangan itu selesai.

Rasional bagi cadangan SCR itu adalah ia akan memberi fleksibiliti yang besar kepada MMC dalam menguruskan dan membangunkan perniagaan sedia adanya di samping meneroka peluang tanpa kekangan pengawalseliaan dan aspek pematuhan berkaitan dengan status penyenaraiannya.

Ini memandangkan ia dianggap sesuai untuk mempertingkatkan penggunaan sumber, prospek, dan pertumbuhan masa depan MMC Group untuk terus kekal kompetitif, menurut surat tersebut.

– BERNAMA

Advertisment

Topik Hangat

Adham Minta Rakyat Terus Bersolidariti Tentang Covid-19

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu menunjukkan kaedah tersebut “mendatangkan hasil” apabila kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt)...

Anwar Hantar Akuan Bersumpah Lagi?

CYBERJAYA - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan menyerahkan 114 Akuan Bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen yang menyokong beliau menjadi Perdana Menteri ketika bertemu...

DAP usul kerajaan gagal, serah kebijaksanaan Agong menilai

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membangkitkan usul kerajaan gagal menangani Covid-19 kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah...

Berita Berkaitan

Bank Untung Bukan Boleh Beri Moratorium Sewenang-Wenangnya

PETALING JAYA: Keuntungan yang dicatatkan institusi perbankan dalam tahun kewangan yang lalu bukanlah bermakna bantuan bayaran balik pinjaman boleh diberikan secara sewenang-wenangnya. Ketua Ahli Ekonomi...

Industri Kreatif Tempatan Raih RM42 Juta Dalam Jualan, Peluang Komersial – MDEC

PUTRAJAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah membantu lapan syarikat animasi dan satu syarikat permainan menjana kira-kira RM42 juta dalam peluang komersial dan jualan...

Matrade, Amazon Ganding Bahu Bantu PKS Tempatan Tembus Pasaran Global

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bekerjasama dengan gergasi e-dagang Amazon Global Selling untuk sama-sama mempromosikan produk buatan Malaysia ke pasaran global. Dalam...