Sultan Johor Tidak Boleh Bubar DUN Tanpa Nasihat MB Kata MP Pasir Gudang

- Advertisement -

Kuala Lumpur – Berikutan amaran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, untuk membubarkan dewan undangan negeri (DUN) sekiranya kemelut perebutan kuasa di situ berpanjangan, seorang ahli parlimen menjelaskan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa mutlak untuk berbuat demikian.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata memang mengikut Perkara 23(2) Perlembagaan Johor ada disebut bahawa seseorang Sultan boleh membubarkan DUN Johor.

Bagaimanapun, katanya, Perkara 23(2) perlembagaan sama menyatakan ini tidaklah bersifat muktamad dan tidaklah boleh berdiri sendiri.

“Ia hendaklah dibaca bersama Perkara 7(1) Perlembagaan Johor yang menyatakan: Bertindak sesuai dengan nasihat majlis eksekutif negeri dalam melaksanakan fungsi perlembagaan.

“Ini bermakna sultan tidak boleh dengan secara sendiri membubarkan DUN.

“Jika menteri besar mengadap sultan dan menasihati sultan supaya dibubarkan DUN barulah sultan boleh membubarkannya,” kata Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod peruntukan kuasa berkenaan adalah sama dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut perlembagaan negara Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membubarkan sendiri parlimen melainkan jika baginda dinasihatkan sebegitu oleh perdana menteri.

Sementara itu, Hassan yang memiliki pengalaman sebagai peguam menegaskan, ketika Perkara 7 (1) Perlembagaan Johor meminta sultan bertindak sesuai dengan nasihat kerajaan negeri, Perkara 7 (2) pula menjelaskan ada beberapa kawasan yang membenarkan baginda menggunakan budi bicara.

Katanya mengikut Perkara 7(2)(b) Perlembagaan Johor sultan mempunyai kuasa budi bicara untuk tidak memberi izin ke atas permintaan untuk membubarkan DUN.

Amaran Sultan Johor pada Rabu dibuat ketika Pakatan Harapan (PH) negeri itu mendakwa mereka mempunyai majoriti untuk mengambil alih kembali kerajaan negeri selepas berlaku pertukaran pada Feb lalu.

Pertukaran kerajaan – daripada PH kepada Perikatan Nasional (PN) – berlaku selepas Bersatu meninggalkan gabungan yang memenangkan mereka dalam pilihan raya umum terdahulu.

Untuk rekod, selain Bersatu, semua parti yang membentuk PN di Johor adalah pihak yang ditolak oleh pengundi dalam PRU ke-14. Keadaan itu menjadikan PN sebuah kerajaan yang tidak mempunyai mandat daripada rakyat.

PH mendakwa mereka bakal menerima sokongan daripada beberapa Adun Bersatu yang sedia untuk meninggalkan PN.

– SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat