KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan pihak tertentu yang cuba melaga-lagakannya dengan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan.
Zahid berkata, setiap permasalahan yang berlaku termasuk krisis di Negeri Sembilan sentiasa dibincang bersama Mohamad, sekali gus menegaskan Menteri Luar itu bukan seorang ‘pembelot’.
“Tidak pernah timbul soal itu (pembelot), malah Datuk Seri Mohamad yang cuba mencari jalan untuk selesaikannya. Dan tidak adil kalau ada tuduhan yang begitu dan beliau sering berbincang untuk mengadakan perundingan dengan saya untuk mencari jalan penyelesaian kepada perkara tertentu.
“Malah saya beritahu dengan beliau bahawa benang telah kusut. Jadi dia kena tahu punca kekusutan di mana. Jadi kita harus menarik benang itu supaya menjadi lurus dengan perlahan-lahan dan halus,” katanya menurut Utusan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.
Sejak akhir-akhir ini, tular dakwaan di media sosial bahawa Mohamad menjadi dalang dalam krisis yang berlaku di Negeri Sembilan, termasuk usaha menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Bagaimanapun,Zahid menjelaskan, krisis yang berlaku di Negeri Sembilan bukan untuk merampas pentadbiran daripada Pakatan Harapan (PH), namun 14 AHli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat hanya ingin menukar Menteri Besar yang telah hilang kepercayaan.
“Tidak langsung timbul untuk menarik diri dari Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang. Mungkin interpretasi dan persepsi. Yang mereka tidak mahu cuma Menteri Besar.
“Soal Menteri Besar itu kita serahkan kepada pemimpin parti gabungannya iaitu PH. Mereka akan tentukan siapa yang akan menjadi Menteri Besar, kalau Aminuddin tidak lagi mendapat kepercayaan ahli parti gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya.



