Cyberjaya : Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, menzahirkan penghargaan terhadap perjuangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang kini memasuki usia 26 tahun, dengan menegaskan bahawa parti itu akan terus membawa obor reformasi demi rakyat dan negara.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menyifatkan KEADILAN sebagai parti yang lahir dari semangat perjuangan rakyat, yang kini bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan serta Kerajaan MADANI, terus berusaha memperbaiki keadaan negara.
“Hari bersejarah ini menyaksikan 26 tahun lahirnya sebuah parti bernama KEADILAN yang membawa obor reformasi, mengangkat martabat rakyat, dan membina sebuah negara yang lebih baik dan adil buat semua.
“Dari jalan raya, melalui pilihan raya, hinggalah ke Putrajaya, KEADILAN bersama rakan-rakan seperjuangan di dalam Pakatan Harapan dan kini Kerajaan MADANI akan terus berusaha membawa islah dan memperbaiki keadaan,” katanya.
Fahmi turut mengucapkan tahniah kepada semua anggota, pimpinan, dan penyokong parti dari seluruh negara atas kesabaran, ketabahan, serta kesetiaan dalam perjuangan yang panjang.
“Tahniah buat semua anggota, pimpinan malah juga penyokong parti dari seluruh pelusuk tanah air – dari Padang Besar hingga Semporna – di atas kesabaran dan ketabahan, idealisme yang tidak luntur, dan kesetiaan dalam perjuangan.
“Semoga KEADILAN dan Kerajaan MADANI terus utuh dan teguh dalam membina masa depan yang lebih baik untuk bangsa dan negara,” katanya lagi.
KEADILAN yang ditubuhkan pada 4 April 1999, memainkan peranan penting dalam arena politik tanah air, menyertai beberapa pilihan raya sebelum akhirnya berjaya membentuk kerajaan pada 2018 dan kini menerajui pentadbiran negara bersama Pakatan Harapan dalam Kerajaan MADANI.