CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mempersoalkan ketulenan konsep Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa kerajaan sedia ada lebih bersifat “gabungan pak sanggup” daripada benar-benar mewakili semua parti.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Dr Mahathir merujuk kepada Kerajaan Perpaduan yang wujud di United Kingdom ketika Perang Dunia Kedua, yang dipimpin oleh Winston Churchill sebagai contoh sebenar pemerintahan berasaskan perpaduan.
“Semasa Perang Dunia Kedua, Kerajaan United Kingdom dipimpin oleh Winston Churchill dalam sebuah kerajaan gabungan yang melibatkan semua parti termasuk pembangkang. Keputusan kabinet dibuat oleh semua parti dalam kerajaan itu, bukan satu pihak sahaja,” tulisnya.
Dr Mahathir menegaskan bahawa dalam kerajaan perpaduan sebenar, kesetiaan bukan kepada Perdana Menteri atau parti tertentu, tetapi kepada negara.
“Tidak ada keperluan untuk parti-parti dalam kerajaan itu menunjukkan kesetiaan kepada Perdana Menteri atau Parti Konservatif. Kesetiaan mereka adalah kepada negara,” katanya.
Sebaliknya, beliau mendakwa Kerajaan Perpaduan Malaysia pada hari ini tidak mengamalkan prinsip yang sama.
“Kerajaan Perpaduan Malaysia sekarang mesti menyokong Perdana Menteri. Kritikan terhadap Perdana Menteri boleh mengakibatkan tindakan dihukum. Parti yang mempunyai ahli Parlimen tidak menyokong Perdana Menteri tidak diterima dalam Kerajaan,” ujar beliau lagi.
Dr Mahathir mengakhiri kenyataannya dengan menyifatkan kerajaan sedia ada bukanlah sebuah Kerajaan Perpaduan sebenar.
“Ia adalah gabungan ‘pak sanggup’ . Bukan Kerajaan Perpaduan,” katanya tegas.