Petronas Terus Cari Gali Minyak Di Laut China Selatan Yang Dianggap Kawasan Malaysia – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan terus melaksanakan kerja-kerja cari gali minyak di kawasan sedia ada di Laut China Selatan kerana Malaysia menganggap ia adalah kawasan negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, Malaysia terbuka untuk berunding jika negara itu merasakan kawasan sedia ada di Laut China Selatan adalah wilayah mereka.

Katanya, beliau menyatakan perkara itu semasa lawatannya ke Beijing, baru-baru ini bertemu Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang.

“Memang perkara ini dibangkitkan kerana terdapat tuntutan bertindih oleh kedua-dua pihak di Laut China Selatan terutama kebimbangan China, dan kerana Petronas menjalankan kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang dituntut China.

“Saya nyatakan sendiri kepada Presiden dan Perdana Menteri China, bahawa Malaysia menganggap ini kawasan Malaysia, maka Petronas akan teruskan cari gali di kawasan itu.

“Bagaimanapun, jika China merasakan ini hak mereka, kerajaan boleh buka untuk rundingan,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sekiranya Perdana Menteri ada berbincang dengan pemimpin China mengenai keselamatan di rantau ini terutama kehadiran tentera China di Laut China Selatan.

Selain itu, katanya, beliau tidak mahu mengelak untuk meneruskan rundingan kerana adalah pendirian ASEAN supaya semua tuntutan bertindih diselesaikan secara rundingan.

“Mengenai kehadiran kapal di Laut China Selatan diterangkan oleh China, ini di perairan antarabangsa tetapi Kementerian Luar akan terus memantau dan jika ada pelanggaran, kerajaan akan mengeluarkan bantahan,” katanya.

Mengulas mengenai Perjanjian Keselamatan Tiga Hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) (AUKUS), yang turut bercadang membangunkan kapal selam berkuasa nuklear, kata Anwar, rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese sudah menghubunginya dan menghantar wakil khas bagi menjelaskan mengenai perkara itu.

“Pendirian Malaysia dan ASEAN adalah tidak menyokong apa saja usaha yang boleh meningkatkan ketegangan, terutama bidang ketenteraan.

“Malaysia dan ASEAN adalah zon bebas, yang tidak mahu kuasa besar menekan kita dan sebab itu, apabila diumumkan AUKUS, Malaysia menyatakan keresahan supaya perkara ini tidak meledak sebagai sesuatu yang dianggap provokatif dan menyebabkan China meningkatkan kegiatannya di rantau ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat